JAIS tangguh program skala besar

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menangguhkan program berskala besar melibatkan aktiviti sukan dan kokurikulum di semua sekolah seliaan jabatan itu serta-merta.

Unit Korporat Jabatan Agama Islam Selangor JAIS melalui kenyataannya memaklumkan penangguhan itu melibatkan Kemahiran Amal Islami (Kamil) di Sekolah Rendah Agama, Sekolah Rendah Agama Integrasi, Kafa Integrasi, Sekolah Rendah Islam, dan Prasekolah Negeri Selangor.

"JAIS mengambil berat saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkaitan penularan dan kaedah pencegahan jangkitan Covid-19.

"Pada masa ini, pihak sekolah akan mengutamakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas sahaja. Guru dan pelajar sekolah perlu menjaga jarak sosial dengan individu yang menunjukkan gejala serta menggalakkan amalan mencuci tangan pelajar," katanya.

Katanya, bagi surau dan masjid, JAIS mengedarkan panduan berkaitan adab melakukan ibadah dan adab berada di surau dan masjid bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak Covid-19.

"JAIS akan mengehadkan program berskala besar yang melibatkan orang awam atau perhimpunan bagi mencegah kemungkinan jangkitan wabak Covid-19.

"Selain itu, langkah-langkah pencegahan seperti melakukan proses disinfeksi di kaunter tumpuan utama jabatan dan galakan transaksi secara maya seperti penggunaan sistem NCR On-line(Nikah Cerai Rujuk) bagi mengurangkan interaksi fizikal antara jabatan dengan pelanggan turut dilakukan," katanya.

Menurutnya, jabatan itu turut menyarankan semua pelanggan dan orang awam sentiasa mengambil langkah pencegahan dan berusaha dengan membaca Qunut Nazilah.

Artikel Berkaitan: