Nurul Izzah dilantik penasihat Sidec, bukan jawatan politik – Sidec

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) pada Jumaat menjelaskan bahawa pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kepada Sidec Sdn Bhd tidak melibatkan sebarang jawatan politik atau eksekutif dalam organisasi itu.
Dalam satu kenyataan, Sidec memaklumkan pelantikan Nurul Izzah adalah sebagai salah seorang daripada tiga penasihat strategik bagi memperkukuh pembangunan bakat, pengambilan tenaga kerja industri serta menjalin kerjasama antara kerajaan negeri, agensi persekutuan dan ekosistem digital.
“Pelantikan beliau adalah bersifat penasihat, seperti yang dijelaskan oleh Datuk Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) semasa Majlis Gala Ulang Tahun Ke-10 Sidec semalam,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.
Sidec turut menafikan dakwaan dalam sebuah artikel yang menggambarkan seolah-olah Nurul Izzah memegang jawatan rasmi atau politik dalam Sidec, termasuk digelar sebagai ‘Pengerusi Eksekutif Politik’.
“Ini adalah tidak benar. Beliau tidak memegang sebarang jawatan rasmi mahupun politik dalam Sidec atau kerajaan negeri Selangor,” jelasnya.
Menurut Sidec, artikel tersebut juga mengelirukan apabila cuba mengaitkan peranan Nurul Izzah sebagai Pengerusi Eksekutif Politik, sebuah badan pemikir dasar awam dengan organisasi Sidec.
“Kedua-dua entiti ini adalah berasingan dan tidak mempunyai kaitan,” jelas kenyataan itu lagi.
Susulan ketidaktepatan fakta tersebut, Sidec memohon agar media terbabit menarik balik atau membetulkan laporan berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah tafsir dalam kalangan orang ramai.
“Pihak media disaran untuk merujuk kenyataan rasmi kami atau menghubungi Jabatan Komunikasi Korporat Sidec bagi mendapatkan pengesahan sebelum menerbitkan sebarang laporan,” tambahnya.
Majlis Gala Ulang Tahun Ke-10 Sidec semalam turut menyaksikan pelantikan dua lagi tokoh sebagai penasihat iaitu bekas Naib Presiden NVIDIA Corp dan Foxconn, Datuk Lai Yit Loong serta Chiang Shang-Yi, Pengarah Foxconn dan bekas COO TSMC.
Pelantikan ketiga-tiga tokoh ini disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab inovasi serantau serta menyokong pembangunan ekosistem semikonduktor negara.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi Dania Zainuddin di talian 017-877 8606 atau e-mel dania@sidec.com.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

