'Saya ditinggalkan ketika usia 40 hari, ibu dalam pantang' - Gadis cari bapa kandung

DUNGUN – Seorang pembantu kedai yang bakal melangsungkan perkahwinan merayu bantuan orang ramai untuk menjejaki bapa kandungnya yang terpisah sejak bayi.
Nur Amylia Zulaikha Mohd Faiza, 19, berkata, dia mencari Mohd Faiza Mat Yaman, 42, untuk menjadi walinya pada majlis pernikahan dijadual berlangsung pada September depan.
Menurutnya, dia tidak pernah mengenali bapanya itu dan kali terakhir pulang ke rumah pada tahun 2008 sebelum bercerai dengan ibunya pada Jun 2010.
"Saya ditinggalkan ketika berusia 40 hari, ketika ibu masih dalam pantang.
"Saya membesar tanpa mengenali wajah ayah dan hanya tahu nama serta sedikit maklumat mengenainya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, kedua ibu bapanya berkahwin pada Disember 2002 dan ketika itu mereka tinggal di Jalan Ustaz Omar Shukri di sini.
Amylia yang tinggal di Kampung Pulau Serai di sini berkata, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk bertanya kepada rakan-rakan ayahnya serta menjejak ke lokasi yang dikatakan pernah menjadi tempat tinggal lelaki itu di sekitar Serdang dan Kuala Lumpur, namun sehingga kini masih gagal menemuinya.
"Usaha saya mencari ayah sudah bermula sejak beberapa bulan lalu tetapi belum berhasil.
"Saya sangat berharap dia dapat dikesan kerana saya inginkan dia menjadi wali nikah saya," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Mohd Faiza yang dipercayai berasal dari Jalan Baru, Pak Sabah di sini diminta menghubungi Amylia Zulaikha di talian 010-5960228.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
