Isu Ambalat: Sabah berhak dilibatkan dalam rundingan - Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa Sabah berhak untuk dilibatkan dalam apa juga kerangka rundingan bersama yang melibatkan kawasan pertikaian Ambalat.

Bung Moktar berkata, walaupun Sabah kini berada di ambang Pilihan Raya Negeri (PRN) namun beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu kedaulatan negeri itu. 

Menurutnya, isu yang melibatkan kepentingan negeri dan negara harus diangkat dengan penuh tanggungjawab dan tidak dijadikan modal untuk meraih sokongan politik jangka pendek.

Katanya, UMNO Sabah akan memastikan suara negeri ini dibawa secara formal dan konstruktif, termasuk melalui Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) agar kepentingan rakyat Sabah selaku jiran terdekat kawasan Ambalat terus terpelihara.

"Sebagai Ketua UMNO Sabah, saya ingin menegaskan bahawa isu Ambalat tidak wajar dijadikan bahan politik berlebihan sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat. Kita juga harus mengelak daripada mengheret isu sempadan maritim ini ke gelanggang sentimen politik tempatan kerana ia hanya akan membuka ruang polemik tanpa menyumbang kepada penyelesaian sebenar.

"Pendekatan diplomasi adalah jalan paling rasional dalam menangani pertindihan tuntutan maritim di kawasan Ambalat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut menegaskan kepada kerajaan Persekutuan bahawa Rundingan Tahunan Malaysia–Indonesia di Jakarta pada 29 Julai ini seharusnya membuka ruang dan peluang kepada kerajaan Sabah untuk turut serta dalam rundingan strategik tersebut.

"Ini penting agar suara dan kepentingan Sabah diiktiraf secara sah dan jelas dalam apa-apa keputusan dasar berkaitan pembangunan bersama kawasan Ambalat.

"Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar kekal rasional, kita mesti bersatu mempertahankan kedaulatan negara, sambil memastikan rakyat Sabah terus memperoleh manfaat wajar daripada sebarang hasil rundingan Ambalat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim Malaysia dan Indonesia di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.

Beliau berkata, kedua-dua negara harus mempertimbangkan kerjasama ekonomi termasuk di kawasan sempadan maritim yang memberi manfaat kepada rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!