Covid-19: MB Kelantan minta peserta tabligh segera buat saringan

Jemaah Solat Hajat Kesejahteraan Negara Menghindari Wabak Covid-19 mengaminkan doa yang dibacakan Mohamad Shukri.
Jemaah Solat Hajat Kesejahteraan Negara Menghindari Wabak Covid-19 mengaminkan doa yang dibacakan Mohamad Shukri.
A
A
A

KOTA BHARU- Kerajaan negeri meminta kerjasama penduduk Kelantan yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini membuat pengakuan terbuka berhubung penyertaan mereka dalam majlis tersebut.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengakuan secara terbuka tersebut amat penting untuk Jabatan Kesihatan membuat saringan ataupun kuarantin dengan kadar segera bagi mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, sebagaimana dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat satu kes Covid-19 bersabit dengan Kelantan dan dibimbangi mempunyai kaitan dengan perhimpunan tersebut.

“Saya memohon mereka yang terlibat dalam perhimpunan membuat pengakuan terbuka untuk tindakan lanjut dan juga mendapatkan saringan dengan segera untuk mengelak daripada ia merebak,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu beliau menyertai Solat Hajat Kesejahteraan Negara Menghindari Wabak Covid-19 di Masjid Muhammadi dekat sini yang diimamkan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Solat hajat memohon perlindungan daripada ALLAH SWT berikutan penularan Covid-19 tersebut disertai lebih 1,000 jemaah selepas solat Jumaat.

Terdahulu khutbah Jumaat yang turut menyentuh mengenai Covid-19 menerusi tajuk Kufur Nikmat Membawa Bencana itu dibacakan oleh Imam Tua Masjid Muhammadi, Md Sabri Abullah.

KKM pada Rabu lalu mendedahkan bahawa kira-kira 10,000 orang telah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur antara 27 Feb dan 1 Mac, turut disertai seorang lelaki warga Brunei yang positif dengan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Ahmad juga mengarahkan supaya majlis keraian, mesyuarat agung parti dan pelbagai program melibat penyertaan dalam jumlah yang ramai ditangguhkan buat sementara waktu.

“Saya juga telah mengeluarkan arahan kepada semua kakitangan awam, lantikan politik dan anak syarikat kerajaan negeri supaya membeku sementara lawatan ke luar negara sebagai antara sebahagian langkan bagi membendung wabak ini.

“Kita juga memohon kepada ALLAH SWT kerana segala-galanya di bawah kuasa ALLAH SWT, hari ini kita beramai-ramai menunaikan solat hajat memohon kepada ALLAH SWT supaya dapat menghindarkan daripada Covid-19 merebak.

“Kita berterima kasih kepada semua rakyat yang solat hajat hari ini dan saya juga berharap semua rakyat mematuhi peringatan mahupun nasihat yang disampaikan oleh kementerian untuk mengutamakan kesihatan,” katanya.

Keterangan gambar

Jemaah Solat Hajat Kesejahteraan Negara Menghindari Wabak Covid-19 mengaminkan doa yang dibacakan Mohamad Shukri.