Sembunyi dadah dalam najis lembu

Mat Zani@Mohd Salahuddin (dua dari kiri) menunjukkan barang kemas dan beg berjenama mewah yang dirampas daripada sindiket dadah.
Mat Zani@Mohd Salahuddin (dua dari kiri) menunjukkan barang kemas dan beg berjenama mewah yang dirampas daripada sindiket dadah.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Taktik licik satu sindiket dadah yang menyembunyikan puluhan kilogram pil kuda di bawah najis lembu terbongkar apabila polis melakukan enam serbuan di sekitar Pasir Mas dan Tumpat, minggu lalu.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak tiga tahun lalu itu berjaya ditumpaskan menerusi operasi pada 27 Jun, dengan penahanan enam suspek tempatan berusia 25 hingga 39 tahun, termasuk seorang wanita.

"Dalam serbuan bermula jam 11.15 pagi hingga 4.30 petang itu, polis berjaya merampas 35.4 kilogram pil kuda bernilai RM5.04 juta serta menyita beberapa aset mewah bernilai RM1.1 juta termasuk beg tangan berjenama, barang kemas dan kereta Mustang Ecoboost 2.3,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.

Lebih mengejutkan katanya, wanita yang ditahan disyaki berperanan sebagai 'akauntan' atau pengurus kewangan sindiket, manakala suaminya adalah suspek pertama yang ditahan.

"Suspek lain turut memainkan peranan sebagai koordinator, transporter dan penjaga stor. Malah ada yang berselindung di sebalik perniagaan sah seperti restoran makanan laut, perniagaan dalam talian dan salon," katanya lagi.

Mat Zani berkata, serbuan pertama dijalankan ke atas sebuah Perodua Axia di Jalan Gajah Mati, Banggol Chicha, menyaksikan penahanan lelaki berusia 34 tahun bersama 115 gram pil kuda dan pemeriksaan lanjut di rumahnya menemui 112g lagi dadah berkenaan.

"Siasatan seterusnya membawa kepada penemuan utama di kandang lembu di belakang rumah suspek, di mana polis menemui 19.866kg pil kuda yang disembunyikan di bawah najis lembu.

"Kami juga menemui 15.4kg lagi dadah di dalam pacuan empat roda milik seorang suspek di Wakaf Bharu, Tumpat," jelasnya.

Beliau berkata, serbuan lanjutan di beberapa lokasi lain berjaya menahan lagi tiga suspek yang masing-masing memainkan peranan penting dalam operasi sindiket.

Artikel Berkaitan:

Katanya, modus operandi mereka ialah menjadikan kandang lembu sebagai stor rahsia dadah sebelum ia diedarkan ke pasaran Kelantan dan Lembah Klang.

"Kesemua dadah itu dipercayai akan dijual kepada pelajar, dan jika terlepas ke pasaran, berpotensi merosakkan seramai 177,465 individu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

"Semua suspek kini direman tujuh hari bermula 28 Jun bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!