Kes tiga kanak-kanak Myanmar ugut warga emas, serahan dokumen 18 Disember

Ketiga-tiga tertuduh ditemani ibu bapa hadir ke mahkamah untuk pertuduhan ugutan jenayah.
Ketiga-tiga tertuduh ditemani ibu bapa hadir ke mahkamah untuk pertuduhan ugutan jenayah.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Mahkamah Majistret di sini menetapkan 18 Disember depan untuk serahan dokumen bagi kes tiga kanak-kanak Myanmar yang didakwa mengugut seorang wanita warga emas menggunakan beberapa objek pada 22 Oktober lalu.

Sebelum itu, pertuduhan dibaca semula terhadap ketiga-tiga tertuduh berusia antara 11 hingga 12 tahun dalam bahasa Myanmar.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan mangsa yang berusia 71 tahun menggunakan beberapa objek termasuk mop, besi, lampu panjang berwarna putih dan batu.

Perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Tingkat Binjai 14, Taman Sri Rambai di sini, kira-kira jam 6 petang, 22 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Myanmar di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Selasa.
Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Myanmar di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan ketiga-tiga kanak-kanak itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan di mahkamah sama.

Ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan.

Beliau turut mencadangkan beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu.

Selain itu, pihak pendakwaan memohon supaya ketiga-tiga tertuduh dan ahli keluarga masing-masing tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding berlangsung memandangkan mereka tinggal berjiran.

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan jaminan dan menetapkan 10 November untuk pelantikan jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula serta penyerahan dokumen berkaitan.

Sementara itu, peguam daripada Pusat Bantuan Guaman Pulau Pinang yang mewakili kesemua tertuduh, S Sagthiyaraj ketika ditemui di luar mahkamah berkata, anak guamnya dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Butterworth pada 30 Oktober lalu.

Menurutnya, ketiga-tiga kanak-kanak itu yang berdepan pertuduhan jenayah diikat jamin RM4,000 setiap seorang menerusi semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Butterworth.

"Semakan kehakiman berkenaan difailkan oleh pihak majistret berikutan terdapat ketidakaturan dalam prosedur penahanan mereka.

"Berdasarkan Seksyen 84 Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak yang berdepan pertuduhan jenayah kecuali bagi kesalahan membunuh sepatutnya dibenarkan diikat jamin dengan ibu bapa sebagai penjamin.

“Justeru, terdapat ketidakaturan dalam perkara ini sehingga semakan kehakiman difailkan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan itu dibicarakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Suraya Mustafa Kamal di Mahkamah Tinggi Butterworth pada hari sama ketiga-tiga kanak-kanak itu didakwa.

Katanya, ketiga-tiga mereka pada mulanya dibawa ke Pusat Akhlak Air Itam sebelum dibawa ke Mahkamah Tinggi Butterworth bagi prosiding semakan berkenaan.

“Selepas didakwa pada pagi 30 Oktober, mereka dibawa ke pusat akhlak berkenaan dalam tempoh kira-kira dua jam sebelum dibawa pula ke Mahkamah Tinggi Butterworth pada jam 5.45 petang.

“Prosiding selesai kira-kira jam 6.45 petang dengan mahkamah membenarkan setiap seorang diikat jamin RM4,000 dan ibu bapa masing-masing menjadi penjamin,” katanya.

Menurutnya, selepas keputusan jaminan diberikan, ketiga-tiga mereka dibawa semula ke mahkamah yang mengendalikan kes asal sebelum dibebaskan kira-kira jam 7.45 malam pada hari sama.

Beliau berkata, ketiga-tiga kanak-kanak berkenaan kini dibebaskan dan mereka merupakan pelajar di sebuah sekolah kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhampiran.

Terdahulu, empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar ditahan selepas disyaki mengugut seorang wanita warga emas di hadapan rumahnya di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikatakan menegur sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana membuat bising.

Bagaimanapun, teguran tersebut dipercayai mencetuskan tindakan kanak-kanak terbabit membaling batu dan melontarkan sebatang besi ke arah wanita berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!