Warden MRSM: Mara dalam proses senarai pendek bekas tentera, polis

Zulfikri (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan program Entrepreneurial Chill & Chat Mara.
Zulfikri (tengah) pada sidang akhbar selepas merasmikan program Entrepreneurial Chill & Chat Mara.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedang dalam proses menyenarai pendek calon warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman berkata, beberapa calon terbaik sudah dikenal pasti dan proses pemilihan giat dijalankan sebelum mereka ditempatkan di beberapa MRSM terpilih.

“Sekarang proses pemilihan sedang berjalan. Kita tidak letak di semua MRSM, hanya akan mula secara projek rintis tahun ini di beberapa MRSM dahulu.

"Butiran lanjut akan diumumkan oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program Entrepreneurial Chill & Chat Mara di sebuah hotel pada Khamis.

Pada April lalu, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata bahawa Mara akan mengambil warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera dan polis untuk memperkukuh disiplin serta membanteras kes buli dalam kalangan pelajar MRSM.

Projek rintis itu turut membabitkan kerjasama Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria calon.

Sementara itu, mengulas mengenai langkah Mara menghentikan penghantaran pelajar tajaan ke Amerika Syarikat (AS) mulai tahun ini, Zulfikri berkata, Mara sedang mengenal pasti institusi pendidikan di beberapa negara lain mengikut bidang pengajian pelajar.

“Antaranya United Kingdom, Australia, Jepun, New Zealand dan China. Sebahagian pelajar juga mungkin menyambung pengajian di pelbagai negara alternatif termasuk Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Mereka perlu mendapatkan tawaran baharu untuk kita teliti sebelum mula semula pada September atau awal tahun depan,” katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!