Pas senarai pendek tiga calon untuk PRK Ayer Kuning

IPOH - Tiga nama calon berpotensi telah disenarai pendek oleh Pas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti.
Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek berkata, semua calon yang dikemukakan itu merupakan anak tempatan berusia bawah 50 tahun yang aktif berkhidmat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, senarai berkenaan akan dikemukakan kepada jawatankuasa Pusat minggu hadapan untuk dimuktamadkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).
“Kita ada ramai calon untuk ditampilkan, tetapi daripada jumlah itu, dua atau tiga nama telah disenarai pendek dan dipersetujui untuk diangkat kepada pimpinan Pusat PN.
“Ada antara nama tersebut merupakan kalangan pimpinan Pemuda Pas,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, pimpinan Pas Kawasan telahpun mengatur kesiap-siagaan untuk menghadapi PRK dengan memperkemas jentera dan program mendekati pengundi.
Katanya, pertemuan bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu lalu memberi suntikan semangat untuk jentera parti memperkukuh gerak kerja.
“Kita akan bekerja untuk sesiapa pun calon yang dipilih oleh PN.
"Bagi saya, potensi untuk menang tetap ada walaupun sebelum ini kita tewas di situ. Kita ambil semangat daripada PRK Sungai Bakap yang mana PN mencipta kemenangan di kawasan yang majoritinya Melayu," katanya.
Untuk rekod, Pas sudah bertanding di kerusi tersebut sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, namun semuanya berakhir dengan kekalahan.
Pada Jumaat, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan parti itu akan mempertaruhkan calon Pas pada PRK DUN Ayer Kuning.
Perkara itu mengambil kira keputusan untuk mengekalkan parti sama bertanding di kawasan terbabit.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning (N48) berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Pada PRU15, Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain dari Pakatan Harapan, PN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

