Dagangan Malaysia terus kukuh

A
A
A
Eksport Malaysia bagi November 2018 berkembang 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM84.79 bilion, manakala import meningkat lima peratus kepada RM77.24 bilion.

Menurut Laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, ini adalah penyusutan lebihan dagangan sebanyak 24 peratus kepada RM7.55 bilion.

"Lebihan ini merupakan lebihan dagangan bulan ke-253 berturut-turut sejak November 1997. Bagi perbandingan bulan ke bulan, jumlah dagangan, eksport dan import, masing-masing merekodkan penurunan sebanyak 8.2 peratus 12 peratus dan 3.5 peratus, manakala lebihan dagangan berkurang sebanyak 53.7 peratus,” kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam kenyataannya, baru-baru ini.

Dagangan Malaysia bagaimanapun, terus kukuh pada November, berkembang 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM162.03 bilion, dengan peningkatan dalam jumlah perdagangan dapat dilihat dengan peningkatan eksport ke Asean, Taiwan, Perancis, Hong Kong SAR, Arab Saudi, Republik Korea (ROK), Rusia, India dan Qatar.

Bagi tempoh 11 bulan pertama tahun 2018, jumlah perdagangan berkembang 6.2 peratus kepada RM1.72 trilion berbanding tempoh yang sama pada 2017

Eksport meningkat kepada RM914.67 bilion, peningkatan sebanyak 6.9 peratus, manakala import berkembang 5.3 peratus kepada RM805.12 bilion

Lebihan dagangan bagi tempoh ini mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 20.2 peratus kepada RM109.55 bilion dalam tempoh tersebut.

"Eksport utama pada November 2018 sebahagian besarnya melibatkan barangan elektrik dan elektronik (E&E), atau 36.8 peratus daripada jumlah eksport sebanyak RM3.18 bilion," katanya.

Produk petroleum penyumbang utama
Artikel Berkaitan:


Penyumbang utama lain eksport negara pada bulan itu ialah produk petroleum, yang meningkat 41.2 peratus tahun ke tahun kepada RM7.47 bilion, bahan kimia dan produk kimia meningkat 15.1 peratus tahun ke tahun kepada RM5.03 bilion dan gas asli cecair (LNG) naik 26.4 peratus kepada RM4.56 bilion.

Eksport produk minyak sawit dan pertanian berasaskan sawit bagaimanapun turun 21.1 peratus kepada RM3.7 bilion.

Miti berkata, eksport ke Asean terus berkembang positif selama enam bulan berturut-turut, dan meningkat 4.0 peratus kepada RM45.84 bilion pada November, atau 28.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Eksport berkembang 6.4 peratus kepada RM26.17 bilion, disokong oleh kenaikan eksport petroleum mentah, produk E&E dan produk petroleum.

"Ketiga-tiga produk ini menyumbang 56.1 peratus daripada eksport Malaysia ke Asean, dan import dari Asean meningkat 0.9 peratus kepada RM19.67 bilion," katanya.

Miti berkata, eksport ke Vietnam mencatatkan peningkatan yang ketara tahun ini, mencatatkan pertumbuhan RM938.5 juta disebabkan oleh peningkatan eksport produk petroleum, manakala eksport ke Singapura meningkat kepada RM872.2 juta dan Thailand kepada RM170.7 juta, diterajui oleh eksport minyak mentah yang lebih tinggi.

Dagangan dengan China turut menyumbang

Sementara itu, dagangan dengan China yang menyumbang 16.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, merosot sedikit sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun kepada RM26.51 pada November, manakala eksport ke China meningkat 3.9 peratus kepada RM11.65 bilion manakala import 3.3 peratus lebih rendah kepada RM14.85.

Dagangan Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) meningkat satu peratus kepada 9.5 peratus atau RM15.37 bilion pada November.

Eksport itu mencatat penurunan 7.7 peratus kepada RM7.52 bilion, manakala import meningkat 10.9 peratus kepada RM7.85 bilion.

"Antara 10 pasaran utama EU yang menyumbang 90.8 peratus daripada jumlah eksport negara ke EU, hanya tiga negara yang mencatatkan peningkatan iaitu Sepanyol (81.2 peratus), Itali (38.2 peratus) dan Poland (16.2 peratus)," kata Miti.

Selain itu, ia juga berkata dagangan dengan Amerika Syarikat mencatatkan pertumbuhan kecil sebanyak 0.7 peratus kepada RM12.77 bilion pada November, atau 7.9 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia pada bulan itu.

Eksport 3.6 peratus lebih rendah kepada RM7.28 bilion manakala import meningkat 7.1 peratus kepada RM5.49 bilion