Enam wanita antara 121 dicekup positif dadah

Antara individu yang ditahan dalam 'Ops Perdana' AADK Selangor di beberapa lokasi tumpuan penagih di Petaling, Klang dan Kuala Selangor.
Antara individu yang ditahan dalam 'Ops Perdana' AADK Selangor di beberapa lokasi tumpuan penagih di Petaling, Klang dan Kuala Selangor.
A
A
A

KUALA SELANGOR – Enam wanita antara 121 individu disahkan positif dadah dalam ‘Ops Perdana’ Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor yang dijalankan selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu.

Pengarah AADK Selangor, Nazir Mohamad berkata, operasi itu menyasarkan kawasan panas penagihan di tiga daerah iaitu Petaling, Klang dan Kuala Selangor.

Menurutnya, seramai 90 anggota AADK digerakkan dalam operasi itu dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Berdasarkan pecahan umur, majoriti mereka yang ditahan adalah dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun (64 orang), diikuti 41 hingga 50 tahun (31 orang) dan 51 hingga 60 tahun (17 orang).

"Seorang remaja bawah umur turut dikesan terlibat manakala lapan lagi berusia 61 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Nazir berkata, metamphetamine (syabu) menjadi dadah paling banyak dikesan dalam operasi itu dengan 58 kes, diikuti kombinasi opiat dan meth (42 kes) serta campuran meth, opiat dan ganja (7 kes).

Tambahnya, rampasan sepanjang operasi turut membabitkan pelbagai jenis dadah antaranya heroin seberat 97.05 gram, syabu (45.05 gram), ganja (11.8 gram) dan pil kuda (3.5 gram).

"Semua bahan terlarang itu dipercayai untuk kegunaan sendiri dan edaran kecil-kecilan di kawasan tempatan termasuk port-port penagihan yang aktif," ujar beliau.

Katanya, semua individu yang ditahan bakal berdepan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel Berkaitan:

"Dua individu turut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kami akan terus mempergiat operasi seumpama ini demi memastikan komuniti di Selangor benar-benar bebas daripada ancaman dadah," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!