Dua anggota polis positif dadah, ditahan berhibur di pusat karaoke

KUALA LUMPUR - Dua anggota polis didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Loke Yew di sini pada Sabtu.
Kedua-dua anggota polis terbabit antara 55 individu yang ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam operasi berkenaan.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, serbuan kira-kira jam 4 petang itu dijalankan susulan risikan dan maklumat yang diterima pihaknya.
"Seramai 55 individu termasuk dua penjawat awam ditahan ketika operasi terbabit, pemeriksaan turut mendapati dua individu terbabit yang masing-masing lelaki dan wanita itu positif dadah jenis eramin 5 dan ketamin.
"Selain itu, empat warga asing turut ditahan selepas pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya pada Ahad.
Katanya, saringan air kencing mendapati 49 individu termasuk dua penjawat awam terbabit positif dadah.
"Seramai 25 lelaki dan 17 wanita didapati positif dadah manakala yang lainnya negatif.
"Kesemua individu ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta Hiburan 1992, Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1963 dan Peraturan 25(1) (n) PPN 1990.
"Selain itu, kes ini turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!