Jemaah disaring sebelum solat Jumaat

Jemaah disaring terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kuala Lumpur - Foto Facebook ViralMeletop
Jemaah disaring terlebih dahulu sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kuala Lumpur - Foto Facebook ViralMeletop
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq mengambil langkah siap sedia bagi menghadapi penularan wabak koronavirus (Covid-19) apabila melakukan saringan terhadap para jemaah sebelum menunaikan solat Jumaat hari ini.

Tindakan itu dilaksanakan setelah Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan kepada orang ramai untuk mengelakkan diri daripada hadir perhimpunan berskala besar.

Menerusi pelayar Twitter @YMMiorAzlan, sebuah rakaman menunjukkan saringan dilakukan sebelum menunaikan solat Jumaat.

Para jemaah dilihat perlu membasuh tangan dengan cecair pembasmi kuman termasuk lakukan pemeriksaan suhu badan.

Video berdurasi 15 saat dengan kapsyen, "Terbaik warga kerja Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, sama-sama kita doakan agar ALLAH angkat bala yang sedang menguji kita.

"Perbanyakkanlah istighfar, solat, berdoa, jaga kebersihan diri dan keluarga, kurangkan aktiviti luar terutama di kawasan yang padat." tular di laman sosial.

Di ruang komen, rata-rata netizen memuji tindakan pihak kariah masjid yang mengutamakan keselamatan dan menitikberatkan soal kesihatan.

Selain itu, Masjid Jamek Kuala Lumpur turut melakukan saringan terhadap para jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, solat Jumaat mendapat perhatian meluas di laman sosial ekoran masyarakat bimbang keselamatan berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Mengambil langkah drastik, Negeri Perlis pada hari ini membatalkan solat Jumaat dengan menggantikan solat Zohor di rumah masing-masing selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberitahu, solat Jumaat diteruskan seperti biasa, namun memendekkan khutbah Jumaat bagi mengurangkan masa berkumpul.