Bom lama seberat 250 kg berjaya dimusnahkan

KUANTAN – Objek dipercayai bom lama yang ditemui tertanam di kawasan tapak projek perumahan di Rancangan Tanah Pemilikan (RTP) Bukit Goh di sini pada Selasa telah berjaya dimusnahkan pada Rabu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, operasi pemusnahan bom jenis aerial bomb seberat kira-kira 250 kilogram itu dilakukan dengan selamat pada jam 10 pagi.
Menurutnya, tindakan memusnahkan bom itu menggunakan kaedah “low order”.
“Kaedah tersebut digunakan berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan oleh Unit Pemusnah Bom (AMRA) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
“Ia bertujuan mengurangkan kesan gegaran terhadap kediaman berhampiran yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi bom,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Adli berkata, bom lama itu ditemui pada jam 2.50 petang Selasa sebelum penemuannya dimaklumkan oleh kontraktor perumahan kepada pihak polis.
“Susulan maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke lokasi bagi tujuan kawalan keselamatan dan siasatan awal, sebelum langkah pemusnahan dijalankan hari ini (Rabu),” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyentuh sebarang objek mencurigakan yang dijumpai, sebaliknya segera menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

