FGV catat keuntungan RM276 juta pada 2024

Rastam memimpin sidang AGM dan EGM.
Rastam memimpin sidang AGM dan EGM.
A
A
A

FGV Holdings Berhad (FGV) mencatatkan hasil sebanyak RM22.16 bilion meningkat 14 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM276 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024).

Pengerusinya, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, prestasi tersebut dipacu oleh kecekapan operasi, margin keuntungan yang lebih baik serta pemulihan dalam segmen gula.

Menurut beliau, antara pencapaian operasi utama sepanjang tahun termasuk kemajuan di bawah Pelan Transformasi Perladangan, peningkatan hasil tandan buah segar (BTS) serta pengeluaran produk bernilai tinggi dan lestari.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FGV Holdings Berhad ke17 telah dimuktamadkan pada 26 Jun lalu.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) FGV Holdings Berhad ke17 telah dimuktamadkan pada 26 Jun lalu.

"Inisiatif yang dilaksanakan termasuk pelancaran 23 unit simpanan stok (SKU) baharu, pengenalan bahan tanaman klon berhasil tinggi Yangambi Platinum, pelancaran loji penapisan premium Fract750 di Pelabuhan Kuantan serta pelaksanaan teknologi automasi seperti jambatan timbang tanpa operator dan sistem pengukuran tangki automatik.

"Selain itu, FGV turut memperkukuh komitmen sosial menerusi pembayaran balik yuran pengambilan pekerja kepada 1,164 bekas pekerja migran dan pelancaran Projek Rintis: Juruteknik Perladangan (Pakar Menuai) bagi meningkatkan kemahiran belia tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Rastam, tahun 2024 menyaksikan kemajuan operasi yang memberangsangkan dan transformasi bermakna bagi Kumpulan.

Ujarnya, walaupun berdepan cabaran ekonomi global, ketidaktentuan geopolitik serta cabaran alam sekitar, FGV kekal berdaya tahan, tampil lebih kukuh dan fokus serta berjaya mengubah cabaran kepada peluang.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Fakhrunniam Othman berkata, dalam menghadapi landskap global yang semakin tidak menentu akibat ketegangan perdagangan dan turun naik pasaran organisasi tersebut kekal berwaspada.

"Walaupun terdapat tanda-tanda awal pemulihan harga komoditi, prospek keseluruhan masih perlu ditangani secara berhati-hati.

"Oleh itu, kami memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi, mengeratkan kerjasama dengan pihak berkepentingan, meneroka segmen produk bernilai tinggi serta memanfaatkan teknologi canggih agar FGV terus kekal berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa hadapan.

"Disokong halatuju strategik yang jelas serta sokongan berterusan daripada para pemegang saham, FGV berada pada kedudukan yang kukuh untuk menghadapi cabaran akan datang dan meneroka peluang baharu ke arah pertumbuhan yang lestari," katanya.

Selaras dengan komitmen berkenaan, FGV turut mengumumkan penerbitan Laporan Tahunan 2024 bertemakan ‘Menuai Potensi’ yang mengetengahkan prestasi Kumpulan, keutamaan strategik dan halatuju masa hadapan.

FGV telah menyempurnakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-17 dan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 26 Jun lalu bagi membentangkan prestasi kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 serta memperoleh kelulusan pemegang saham bagi pengambilalihan strategik syarikat tersebut.

Dalam mesyuarat itu, cadangan Kumpulan untuk mengambil alih baki kepentingan ekuiti dalam lapan anak syarikat daripada Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dengan jumlah keseluruhan bernilai RM229.8 juta telah diluluskan.

Di bawah resolusi tersebut, FGV Palm Industries Sdn. Bhd. (FGVPI), anak syarikat tidak langsung FGV dengan pegangan 72 peratus, akan mengambil alih baki kepentingan ekuiti dalam tiga anak syarikatnya yang belum dimiliki sepenuhnya daripada KPF dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM54.7 juta.

Pada masa sama, anak syarikat milik penuh FGV, FELDA Holdings Bhd. (FHB), akan mengambil alih baki kepentingan ekuiti dalam lima anak syarikatnya daripada KPF dengan nilai keseluruhan berjumlah RM175.1 juta.

Langkah strategik ini bertujuan menyusun semula struktur korporat FGV secara menyeluruh, meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan serta memastikan penjajaran yang lebih kukuh dengan keutamaan strategik Kumpulan.

Dengan pemilikan penuh, FGV berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk terus memacu prestasi dan mempercepat pelaksanaan inisiatif di seluruh segmen perniagaan terasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!