[VIDEO] R&R Seremban: Surau pertama dapat kebenaran solat Jumaat

A
A
A

SEREMBAN – Surau Madani di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) menjadi surau pertama di lebuh raya dalam negara yang mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat.

Pengisytiharan rasmi itu telah disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin dalam satu majlis khas yang berlangsung pada Rabu.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi berkata, projek ini merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Menurutnya, penyediaan kemudahan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PLUS untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta menyediakan ruang ibadah yang selesa kepada pengguna lebuh raya.

“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pengguna lebuh raya, malah turut memberi manfaat kepada komuniti pekerja di R&R serta penduduk sekitar Labu dan Seremban.

"Surau ini mampu menampung sehingga 150 jemaah lelaki pada satu-satu masa, dan direka bentuk dengan ciri mesra pengguna termasuk kemudahan untuk warga emas serta golongan berkeperluan khas," katanya pada majlis berkenaan.

Faudzinaim
Faudzinaim

Beliau berkata, sebagai persediaan untuk mendirikan solat Jumaat, surau tersebut telah dinaik taraf dengan pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, Jawatankuasa Kariah Penaja yang terdiri daripada 93 pemastautin tetap di kawasan R&R turut ditubuhkan.

"PLUS berharap usaha ini akan memudahkan urusan ibadah kepada pemastautin dan pengguna lebuh raya serta memperkukuhkan lagi peranan lebuh raya sebagai laluan yang bukan sahaja menghubungkan destinasi malah menghubungkan manusia dengan pencipta-Nya," katanya.

Majlis Pengisytiharan solat Jumaat di R&R Seremban (Arah Selatan) disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan (tengah) pada Rabu.
Majlis Pengisytiharan solat Jumaat di R&R Seremban (Arah Selatan) disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan (tengah) pada Rabu.

Sementara itu, Faudzinaim berkata, kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau tersebut telah diluluskan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Darul Khusus mengikut Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

"Kebenaran itu berkuat kuasa mulai 4 Julai ini dan bersifat sementara sehingga satu surat pembatalan dikeluarkan oleh pihak jabatan berkenaan.

“Solat Jumaat hendaklah didirikan secara berterusan, dan tidak disunatkan mendirikan solat Tahiyyat al-Masjid atau beriktikaf di surau ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, bahawa jemaah yang berada di kawasan R&R Seremban dan berjumlah 40 orang atau lebih, wajib menunaikan solat Jumaat di surau berkenaan.

Tambah beliau, jawatankuasa surau turut tertakluk kepada arahan pihak berkuasa agama Islam Negeri Sembilan dari semasa ke semasa.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!