'Kakak sudah bercerai, tiada masalah kesihatan' - Kematian dua beranak mengejutkan keluarga

Proses bedah siasat dua beranak berkenaan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP untuk mengetahui punca kematian.
Proses bedah siasat dua beranak berkenaan dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HPP untuk mengetahui punca kematian.
A
A
A

GEORGE TOWN - Keluarga wanita yang ditemui meninggal dunia bersama anak perempuannya di sebuah pangsapuri di Jalan Bukit Gambir mendakwa mangsa tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

Adik kepada wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Noor berkata, kakaknya tidak pernah berkongsi hal peribadi dengan keluarga sebelum ini.

"Apa yang saya tahu, kakak saya sihat dan tidak ada sebarang penyakit," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini pada Selasa.

Tambah Noor, mereka sekeluarga masih terkejut dengan kematian wanita yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik itu.

"Kami sekeluarga masih terkejut selepas menerima maklumat daripada polis semalam (Isnin). Sekarang, kami masih menunggu hasil bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian.

"Saya tak dapat komen lebih lanjut, kami sekeluarga amat sedih namun reda dengan apa yang berlaku. Kami serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci," ujarnya.

Ditanya sama ada kediaman itu disewa, Noor berkata, ia merupakan rumah milik kakaknya sendiri.

"Kakak memang tidak bekerja, namun itu adalah rumahnya sendiri. Dia telah berpisah dengan bekas suami, tetapi saya tidak pasti sudah berapa lama mereka berpisah.

"Saya selalu juga berhubung dengan kakak melalui panggilan telefon atau WhatsApp. Kali terakhir kami berjumpa pada Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

"Antara kami tujuh beradik, saya dan kakak sahaja yang tinggal di Pulau Pinang, yang lain tinggal di luar negeri ini," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Noor memaklumkan jenazah kakaknya dan anak saudaranya itu akan dikebumikan di Pulau Pinang selepas selesai proses bedah siasat.

Bagaimanapun, katanya, lokasi pengebumian belum diputuskan setakat ini.

Terdahulu, polis mengesahkan kes kematian dua beranak yang ditemui dalam keadaan reput di sebuah unit pangsapuri tiga bilik di Jalan Bukit Gambir, di sini, diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Siasatan mendapati kedua-dua mangsa masing-masing berusia 40 dan dua tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!