Keputusan Mahkamah Persekutuan buka jalan lebih banyak suara rakyat didengari - Muda

Amira Aisya
Amira Aisya
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan didakwa menjadi satu duluan yang penting bagi negara kerana ia membuka jalan untuk lebih banyak suara rakyat didengari tanpa ditindas oleh penguasa.

Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz berkata, ia secara langsung menghapuskan keperluan untuk penganjur memberikan notis lima hari kepada pihak berkuasa.

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah dalam landskap demokrasi Malaysia. Mahkamah Persekutuan telah membuktikan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Awam 2012 (APA 2012) tidak lagi relevan dalam landskap demokrasi negara.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada bekas Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abdul Hadi atas keberanian dan ketegasan beliau dalam memperjuangkan pelbagai isu rakyat seperti skandal kapal tempur pesisir (LCS) dan juga hak rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman.

“Muda secara konsisten berada di barisan hadapan dalam perjuangan skandal LCS dengan turun protes, menyuarakan dalam Parlimen menerusi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar) dan penyerahan memorandum kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim menyampaikan keputusan sebulat suara dalam cabaran yang dibawa oleh Amir Hariri.

Mahkamah Persekutuan membatalkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman yang menjenayahkan kegagalan untuk memberi notis untuk perhimpunan aman.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Ogos 2024 yang membenarkan permohonan Amir Hariri untuk Mahkamah Persekutuan mendengar cabarannya terhadap peruntukan Akta Perhimpunan Aman, di mana dia didakwa atas dakwaan gagal memaklumkan pihak berkuasa sebelum mengadakan protes berhubung isu LCS pada 2022.

Sementara itu, Amira Aisya turut mengingatkan bahawa protes skandal LCS itu juga disertai oleh rakan-rakan dari Pakatan Harapan (PH) tetapi mendakwa kini ramai yang memilih untuk berdiam diri.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun LCS masih belum muncul, rakan-rakan PH berdiam diri kerana mereka telah berkuasa.

“Saya berharap dengan keputusan ini, tiada lagi mana-mana pihak berkuasa akan menggunakan Seksyen 9 (5) APA 2012 untuk menindas dan mendiamkan suara rakyat.

“Kemenangan Amir Hariri ini merupakan kemenangan untuk semua rakyat Malaysia. Hari ini, rakyat Malaysia menang dalam perjuangan menentang penindasan penguasa,” dakwanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!