Tentera AS pembawa Covid-19?

Kes jangkitan Covid-19 di luar China dilaporkan meningkat 13 kali ganda sejak lebih dua minggu lalu. -Foto AFP
Kes jangkitan Covid-19 di luar China dilaporkan meningkat 13 kali ganda sejak lebih dua minggu lalu. -Foto AFP
A
A
A

BEIJING - China mendakwa tentera Amerika Syarikat (AS) sebagai pembawa koronavirus (Covid-19) ke China.

Tuduhan tanpa mengemukakan sebarang bukti itu dibuat jurucakap Kementerian Luar, Zhao Lijian menerusi Twitter semalam, sekali gus mengulangi teori konspirasi sama di media sosial China yang menuding jari menyalahkan AS sebagai dalang di sebalik pandemik tersebut.

Lijian turut memuat naik video Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memberi keterangan di Kongres tentang beberapa rakyat Amerika yang dipercayai meninggal dunia akibat selesema telah didiagnos positif Covid-19.

"Bila pesakit sifar bermula di AS? Berapa ramai yang telah dijangkiti? Apa nama hospital yang merawat mereka. Ia mungkin tentera AS yang membawa masuk virus itu ke Wuhan. Mereka perlu telus dengan memberikan akses data kepada umum. Kami mahu penjelasan!" tegasnya.

Sebelum ini, Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China pernah menyatakan sumber wabak membawa maut itu ialah haiwan liar yang dijual di sebuah pasar borong di bandar Wuhan, wilayah Hubei.

Namun, sejak beberapa hari lalu, pegawai pemerintah dan pakar kesihatan terkenal di Beijing mendakwa virus itu mungkin berasal dari tempat lain selepas Washington menggelar wabak itu sebagai 'virus Wuhan' hingga mencetuskan kemarahan China.

Kementerian Luar China menolak istilah tersebut yang disifatkan sebagai 'keji' dan 'tidak menghormati sains'.

Kelmarin, Penasihat Keselamatan Negara AS, Robert O'Brien menegaskan virus itu berasal dari China.

Artikel Berkaitan:

"Ia berasal dari Wuhan dan bukan di sini," ujarnya yang turut menyelar Beijing kerana menyembunyikan tentang virus itu hingga menyebabkan masyarakat antarabangsa kini terpaksa menanggung ancaman wabak tersebut yang telah meragut hampir 5,000 nyawa dan menjangkiti lebih 130,000 orang di seluruh dunia.

Menurutnya, penularan Covid-19 mungkin dapat dibendung jika China memberi kerjasama dan membenarkan pakar asing ke negara itu lebih awal.

Ketika jumlah jangkitan virus itu meningkat, pegawai di China juga dituduh cuba menyembunyikan wabak itu dan perkara tersebut terbongkar selepas seorang doktor yang cuba untuk memberi amaran awal meninggal dunia pada awal Februari lalu.

Sebagai respons, jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang mengecam tuduhan dibuat O'Brien yang disifatkan tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab.

Beliau turut menegaskan langkah kuarantin tegas untuk membendung virus itu telah berjaya dilaksanakan di Beijing. - Agensi