Pitas pandang serius kes buli di tahfiz

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian buli di sebuah sekolah tahfiz di Tanjong Karang. Gambar kanan: Muhammad Hafiz
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian buli di sebuah sekolah tahfiz di Tanjong Karang. Gambar kanan: Muhammad Hafiz
A
A
A

KUALA SELANGOR - Persatuan Institusi Tahfiz Negeri Selangor (Pitas) memandang serius kes buli membabitkan seorang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah tahfiz di Tanjong Karang kelmarin.

Pengerusinya, Muhammad Hafiz Muhamad Haneefa Al-Hafiz berkata, pihaknya mengambil beberapa tindakan termasuk mengadakan lawatan ke tahfiz terbabit dan solat hajat supaya dipermudahkan ALLAH.

"Saya sudah menghubungi pengetua tahfiz terbabit dan memberi cadangan termasuk mengambil tindakan tegas iaitu memberhentikan pelajar yang terlibat dalam kes buli tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Hafiz berkata, pihaknya kecewa dengan kejadian buli yang berlaku di institusi tahfiz hingga membawa persepsi tidak baik kepada masyarakat.

Katanya, kejadian itu seharusnya diselesaikan secara dalaman antara ibu bapa pelajar dan sekolah.

"Saya percaya sekolah sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam menangani isu tersebut," katanya.

Menurutnya, setiap tahfiz di negeri ini mempunyai buku garis panduan berhubung disiplin pelajar yang dilancarkan Disember 2018.

"Buku ini merangkumi visi pelajar, jadual di samping tindakan tatatertib yang dikenakan kepada pelajar sekiranya melanggar disiplin ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian semalam melaporkan, seorang pelajar di sebuah sekolah tahfiz di Tanjong Karang didakwa cedera akibat dibelasah oleh lima hingga tujuh pelajar lain dipercayai senior.

Seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa abang kepada pelajar terbabit memuat naik status mengenai kejadian itu di laman sosial dengan mendakwa kejadian tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian hati dan limpa.

Sumber dalaman tahfiz yang enggan namanya didedahkan berkata, kejadian itu didakwa berpunca daripada rasa tidak berpuas hati selepas mangsa dikatakan penyebab vape milik mereka dirampas pihak sekolah.

Katanya, kejadian berlaku selepas mangsa ditangkap guru akibat 'kantoi' menghisap vape di dalam asrama kecil.

Dalam pada itu, polis mengesahkan penahanan tujuh pelajar berusia 15 hingga 17 tahun berhubung kes buli, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, empat pelajar yang menyaksikan kejadian itu turut dipanggil bagi memberi keterangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tahfiz cedera dakwa dipukul senior

Vape punca pelajar tahfiz dipukul

Buli: Polis tahan tujuh pelajar