Program Anjung Sinar berjaya lahirkan lima ikon dalam pelbagai bidang

SHAH ALAM - Program Anjung Sinar oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berjaya melahirkan lima ikon cemerlang menerusi kategori pendidikan, kepimpinan, komuniti, kerjaya dan sukarelawan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pemilihan ikon dibuat berdasarkan pencapaian dan sumbangan signifikan peserta sepanjang tiga tahun.
Menurutnya, setiap peserta digilap dan dibimbing melalui pendekatan menyeluruh yang ditawarkan oleh Program Anjung Sinar sejak mula dilaksanakan pada tahun 2023.
Jelas Nancy, Anjung Sinar merupakan model intervensi sosial berstruktur yang terbukti berkesan dalam membantu anak-anak lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai persediaan melangkah ke alam dewasa dengan jati diri, keyakinan dan kemahiran.
“Anjung Sinar bukan sekadar satu program, tetapi ekosistem sokongan menyeluruh yang membentuk peserta dari segi emosi, fizikal, intelek dan rohani.
“Ia adalah pelaburan jangka panjang yang memberi ruang untuk mereka bangkit dan menyinar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak program tersebut dilaksanakan, ia telah memberi manfaat kepada 615 peserta.
Tambahnya, program itu berpandukan modul khas yang dibangunkan secara dalaman oleh pegawai daripada agensi di bawah KPWKM dengan input dan maklum balas daripada 13 peserta lepasan institusi JKM sendiri.
“Ia dilaksanakan secara berfasa iaitu transisi, transformasi dan integrasi.
“Bagi kumpulan ketiga tahun ini, seramai 128 peserta daripada 24 institusi JKM seluruh negara telah menyertai Boot Camp Transisi Dinamik selama empat hari di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor melibatkan pelbagai aktiviti pembangunan diri, latihan kemahiran hidup, pendedahan kerjaya dan pengukuhan jati diri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nancy turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang banyak menyumbang dari aspek pendidikan, latihan serta pemadanan pekerjaan.
Beliau berkata, sektor korporat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) perlu bersama-sama bekerjasama untuk memperluaskan inisiatif tersebut selain memberi impak positif kepada masyarakat.
“Dengan kerjasama pelbagai pihak, Program Anjung Sinar telah membuktikan bahawa latar belakang bukan penentu masa depan.
“Apa yang penting ialah peluang, sokongan dan bimbingan yang berterusan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
