Guru maut ditetak isteri gara-gara 18 ekar tanah

UTTAR PRADESH – Seorang lelaki dikenali sebagai Indrakumar Tiwari, 45, maut dibunuh isterinya hanya beberapa hari selepas pernikahan mereka dipercayai kerana memiliki tanah seluas 18 ekar.
Menurut laporan NDTV, Indrakumar yang bekerja sebagai guru sambilan dan petani sebelum ini pernah tular menerusi video mencari jodoh.
Dia turut meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dapat mencari isteri semasa menghadiri satu ceramah keagamaan oleh penceramah terkenal, Aniruddhacharya Maharaj bulan lalu.
Dalam video tersebut, Indrakumar memaklumkan kepada penceramah itu bahawa dia memiliki 18 ekar tanah tetapi tiada sesiapa untuk menjaganya.
Malangnya, video itu menarik perhatian penjenayah. Tidak lama kemudian, Indrakumar dilaporkan hilang dan pada 6 Jun, mayatnya ditemui dalam semak dengan sebilah pisau tertusuk di leher di Lebuhraya Nasional 28, daerah Kushinagar, Uttar Pradesh.
Menurut Ketua Polis Daerah Kushinagar, Santosh Kumar, siasatan awal mendedahkan bahawa seorang wanita bernama Sahiba Bano telah menyamar sebagai Khushi Tiwari dan mendekati Indrakumar melalui media sosial dengan niat untuk berkahwin.
“Setelah perkenalan antara Indrakumar dan Sahiba semakin rapat, wanita tersebut memanggilnya ke Gorakhpur, Uttar Pradesh.
“Khushi Tiwari menghubungi Indrakumar dan melamarnya. Dia bersetuju untuk berkahwin. Wanita itu kemudian memasang perangkap bersama rakan-rakannya,” katanya.

Polis menyatakan Indrakumar turut memberitahu keluarganya bahawa dia akan ke Kushinagar untuk berkahwin dengan Khushi.
“Lelaki itu tiba di Gorakhpur dan mereka berkahwin. Mayatnya ditemui beberapa hari kemudian. Difahamkan wanita tersebut dan rakan-rakannya telah membunuh mangsa dan melarikan diri dengan barang kemas serta wang tunai yang dibawanya,” katanya lagi.
Menurutnya, mayat Indrakumar yang mempunyai pisau tertusuk di lehernya ditemui di kawasan Sukarouli dan dibawa ke Balai Polis Hata Kotwali, Kushinagar.
“Sahiba telah ditahan. Dia juga didapati membuat kad Aadhaar palsu. Usaha sedang dijalankan untuk menangkap suspek yang lain dan siasatan terperinci sedang dijalankan,” ujar Ketua Polis itu.
Pihak polis di Madhya Pradesh turut bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di Uttar Pradesh untuk menyelesaikan kes berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

