176 kediaman dipasang pili cekap air bantu golongan B40

Ahmad Faizal (kanan) bersama Daroyah (kiri) melawat rumah seorang penerima pili cekap air di Klang kelmarin.
Ahmad Faizal (kanan) bersama Daroyah (kiri) melawat rumah seorang penerima pili cekap air di Klang kelmarin.
A
A
A

KLANG - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menganjurkan Program Penukaran Pili Konvensional Kepada Pili Cekap Air melibatkan 176 kediaman di sekitar daerah ini di sini kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman berkata, matlamat program tersebut adalah bagi membantu golongan B40 dalam usaha untuk mengurangkan bebanan perbelanjaan bil mereka menerusi penggunaan pili cekap air tersebut.

Beliau berkata, penggunaan pili cekap air itu dijangka dapat membawa impak positif kepada penurunan kadar penggunaan air per kapita pada setiap hari.

“Perkara ini menjadi fokus SPAN dalam memastikan pembekalan air bersih secara berterusan dengan penjimatan kadar penggunaan air per kapita pada setiap hari,” katanya pada Majlis Pelancaran Penukaran Pili Cekap B40 di Kampung Rantau Panjang di sini kelmarin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi dan Pengarah/Ketua Operasi Air Selangor, Ir Abas Abdullah.

Daroyah (tengah) bersama Ahmad Faizal menyerahkan sumbangan beras kepada penerima.
Daroyah (tengah) bersama Ahmad Faizal menyerahkan sumbangan beras kepada penerima.

Ahmad Faizal berkata, penggunaan pili cekap air ini turut akan diperluaskan ke negeri-negeri lain seperti Melaka dan Negeri Sembilan pada suku ketiga tahun ini.

Katanya, pihaknya berharap kempen sebegini dapat meningkatkan kesedaran awam tentang pentingnya langkah penjimatan air di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Penggunaan pili cekap ini memang memuaskan di mana ia mengeluarkan 1.5 liter air sehingga maksimum 4 liter air untuk setiap satu minit berbanding 8 hingga 10 liter menerusi penggunaan pili konvensional,” katanya.

Sementara itu, Daroyah berkata, secara purata penggunaan air rakyat di Selangor pada setiap hari mencecah sehingga 233 liter per kapita.

“Namun dengan langkah kempen penjimatan air dilaksanakan sebelum ini, kita dapat lihat penjimatan kepada 207 liter per kapita pada setiap hari.

“Jadi ini menunjukkan kempen-kempen sebegini sememangnya mencapai objektif dikehendaki,” katanya.