Kejar untung 10 peratus tapi rugi lebih suku juta ringgit

Seorang jurutera kerugian RM275,000 akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang asing palsu yang diiklankan di Facebook. Gambar hiasan
Seorang jurutera kerugian RM275,000 akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang asing palsu yang diiklankan di Facebook. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang jurutera kerugian RM275,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan mata wang asing yang diiklankan menerusi laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah, Superintenden Loi Yew Lik berkata, lelaki berusia 57 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan mata wang China yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Menurutnya, mangsa kemudian menghubungi nombor WhatsApp yang disertakan dan dimasukkan ke dalam kumpulan dikenali sebagai ‘6 Investment Securities International’.

“Mangsa berurusan dengan beberapa individu yang memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan dan menjanjikan pulangan sebanyak 10 peratus dalam masa beberapa hari.

“Bermula 27 Mei hingga 13 Jun lalu, mangsa telah membuat lapan transaksi berjumlah RM275,000 ke dalam dua akaun syarikat berbeza atas nama CISI Infra Solution dan CISI CPT Infra Trading,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan, malah diminta untuk memasukkan wang tambahan bagi mendapatkan semula modal dan pulangan pelaburan.

Jelas Yew Lik, mangsa yang menyedari dirinya ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pada Sabtu.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan dalam talian yang tidak sah.

“Jangan mudah terpedaya dengan janji pulangan tinggi dalam masa singkat. Elakkan daripada memindahkan wang kepada individu yang tidak dikenali,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menggesa orang awam membuat semakan terlebih dahulu melalui aplikasi Semak Mule, Facebook JSJK PDRM atau menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 sebelum melakukan sebarang transaksi mencurigakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!