14 inisiatif khas untuk warga Felda di Johor termasuk kuota haji

KOTA TINGGI – Kerajaan Johor mengumumkan sebanyak 14 inisiatif khusus untuk manfaat warga Felda di negeri ini melibatkan peruntukan kira-kira RM4.5 juta.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara inisiatif tersebut termasuklah bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).
“Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan 10 kuota haji kepada peneroka Felda bagi musim akan datang, selain membantu menyelesaikan isu projek rumah generasi kedua yang terbengkalai.
“Kerajaan Johor turut menyalurkan sumbangan bakul makanan kepada peneroka dan keluarga sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti Felda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sambutan Hari Peneroka Felda Madani peringkat negeri Johor yang dirasmikan oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di Felda Tunggal pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip; Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri negeri, Aznan Tamin; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Johor Bahru, Sharon Ab Raman.
Dalam pada itu, kerajaan negeri memberi jaminan untuk menyelesaikan isu projek perumahan terbengkalai bagi generasi kedua Felda yang telah berlarutan sehingga tujuh tahun.
Onn Hafiz memberitahu kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM25 juta bagi memastikan projek-projek rumah tersebut dapat disiapkan sepenuhnya dalam tahun ini juga.
Menurut beliau, antara kawasan Felda yang terlibat termasuk Felda Pasak dan Felda Bukit Aping Timur yang sebelum ini menanggung kesan kelewatan projek perumahan sehingga menjejaskan ratusan anak muda peneroka.
“Hari ini kerajaan negeri beri komitmen untuk bantu sampai selesai isu ini. Kita nak pastikan masalah yang membelenggu selama tujuh tahun ini dapat diselesaikan tahun ini juga,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

