[VIDEO] Bantahan penduduk berhasil, projek memorial 4 tingkat ditolak

A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menolak permohonan kebenaran merancang bagi pembinaan bangunan memorial empat tingkat di Kampung Raja Uda, Mukim Klang, selepas mengambil kira bantahan penduduk serta beberapa isu teknikal.

Datuk Bandar Klang, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengadakan mesyuarat minggu lalu untuk meneliti permohonan tersebut yang mencetuskan pelbagai reaksi daripada penduduk sekitar.

“Seperti mana yang kita maklum, projek tersebut telah mendapat bantahan daripada pelbagai saluran oleh penduduk setempat.

“Maka, pihak MBDK telah pun membuat keputusan untuk menolak permohonan tersebut atas beberapa sebab teknikal selain bantahan penduduk,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Clean & Green Season 6 di Jalan Dato Dagang 23, Bandar Sentosa, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George.

Bagaimanapun, katanya, pemohon masih berpeluang mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan yang diurusetiakan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor.

“Sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan keputusan lembaga tersebut, pemohon masih boleh memfailkan rayuan untuk semakan di mahkamah bagi mendapatkan keputusan muktamad,” ujarnya.

Abd Hamid (tiga dari kiri) dan Gunaraj (dua dari kanan) ditemui pada Majlis Perasmian Program Clean & Green Season 6 di Jalan Dato Dagang 23, Bandar Sentosa di Klang pada Ahad.
Abd Hamid (tiga dari kiri) dan Gunaraj (dua dari kanan) ditemui pada Majlis Perasmian Program Clean & Green Season 6 di Jalan Dato Dagang 23, Bandar Sentosa di Klang pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pada 6 Jun lalu, penduduk Kampung Raja Uda membantah sepenuhnya cadangan pembinaan memorial tersebut yang dirancang dibina di atas tanah seluas kira-kira satu ekar di Persiaran Raja Muda Musa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Azhar Ibrahim berkata, projek yang terletak bersebelahan Masjid Kampung Raja Uda itu tidak mendapat persetujuan majoriti penduduk, yang hampir 90 peratus daripadanya merupakan masyarakat Melayu.

Menurutnya, penduduk mengharapkan agar Datuk Bandar Klang dan pihak berkaitan membatalkan serta tidak meluluskan projek tersebut, malah lebih 300 bantahan telah dihantar secara dalam talian kepada MBDK dalam tempoh beberapa hari.

Sementara itu, Imam 1 Masjid Kampung Raja Uda, Mohd Bazaireen Baharuddin turut berharap agar suara penduduk diberikan perhatian oleh pihak berkuasa termasuk ahli Parlimen dan ADUN kawasan tersebut agar projek berkenaan tidak diteruskan.

Dengan keputusan MBDK itu, penduduk setempat kini menanti tindakan susulan daripada pemohon sama ada akan mengemukakan rayuan atau sebaliknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!