Peserta memancing di Pantai Cahaya Negeri dinasihat jaga kesihatan diri

Aminuddin (dua dari kanan) menyerahkan kemeja-T kepada Ammar sambil diperhatikan Razali (kanan) dan Md Zali.
Aminuddin (dua dari kanan) menyerahkan kemeja-T kepada Ammar sambil diperhatikan Razali (kanan) dan Md Zali.
A
A
A

PORT DICKSON - Peserta pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour (TMST2020) siri pertama di Pantai Cahaya Negeri di sini Ahad ini diminta sentiasa mengutamakan kebersihan diri sepanjang pertandingan susulan penularan kes Covid-19 di negara ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau mencadangkan peserta menjaga kebersihan diri, memakai penutup mulut dan hidung serta sentiasa mencuci tangan menggunakan hand sanitizer.

“Saya juga telah meminta penganjur pertandingan menyediakan kelengkapan ini di meja pendaftaran bagi kemudahan peserta yang mendaftar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan kemeja-T untuk peserta dan urusetia TMST2020 sumbangan Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan (LPNS) kepada Pengarah Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar di sini kelmarin.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik; Pengarah LPNS, Muhammad Zahir Mazlan dan Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.

Pertandingan memancing TMST2020 akan menyingkap tirainya di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson Ahad ini.

Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai RM115,700, dua cabutan bonanza motosikal Modenas Kriss dan pelbagai barangan memancing dan hamper.

Turut diadakan dua kategori pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan beyblade, memancing ikan keli dalam sangkar, pet zoo dan bengkel teknik membaca alaf-21 yang dikendalikan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel Berkaitan:

Yuran penyertaan ialah RM80 untuk peserta awam, RM60 bagi peserta berusia 60 hingga 65 tahun dan RM40 dikenakan kepada peserta berusia lebih 65 tahun serta orang kurang upaya (OKU).

Pertandingan berkonsepkan Grand Prix itu menawarkan hadiah Grand Slam berupa tiga kereta iaitu Proton Persona, Proton Saga dan Perodua Axia manakala pemenang keempat hingga ke-10 menerima televisyen 50 inci.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 012-2141401, 019-6203040 dan 012-6823479.