Syed Azmir yakin mampu galas tanggungjawab

PRESIDEN Persatuan Sepaktakraw Perlis (PSTPs), Syed Azmir Syed Ahmad menyatakan keyakinan penuh untuk menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sekiranya diberi mandat dalam pemilihan badan induk itu pada Ahad.
Syed Azmir, yang bersaing dalam saingan tiga penjuru bagi jawatan nombor dua PSM itu, bertekad untuk membantu Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan memperkukuh hubungan strategik antara PSM dengan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).
“Saya amat yakin dapat melaksanakan amanah ini dengan berkesan. Fokus utama saya ialah memperkukuh hubungan antara PSM, ASTAF dan ISTAF di samping memperkasa program kejurulatihan serta pengadilan selaras dengan piawaian antarabangsa.
“Saya juga komited untuk melonjakkan prestasi skuad pelapis kebangsaan selain memastikan perundangan pertandingan di bawah ASTAF dan ISTAF dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi di peringkat kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar.
Tambah beliau, kesiapsiagaan serta kerjasama erat dengan Sumali akan terus menjadi landasan utama dalam usaha mempertingkatkan mutu dan pencapaian sepak takraw negara ke tahap lebih tinggi.
“Sudah tiba masanya kita melangkaui batas pemikiran konvensional dan menyuntik idea-idea baharu bagi mengangkat sukan sepak takraw ke pentas Sukan Olimpik. Saya percaya, dengan gabungan pengalaman saya dan Datuk Sumali, PSM mampu menerajui transformasi ini,” katanya.
Syed Azmir memiliki pengalaman selama 36 tahun dalam arena sepak takraw negara, bermula sebagai pengurus tadbir persatuan, pemain, jurulatih, pengurus pasukan wanita negara dan juga pengadil kebangsaan.
Beliau turut memiliki pengalaman hampir 16 tahun dalam pengurusan ASTAF dan ISTAF, dan kini menjawat jawatan sebagai Naib Pengerusi Teknikal ASTAF serta Pegawai Anti Doping ISTAF.
Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh sebelum ini mengesahkan bahawa pemilihan jawatan timbalan presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan dua penyandang Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman ; Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan yang merupakan Presiden Persatuan Sepaktakraw Perak Darul Ridzuan; dan Syed Azmir.
Menurut Abidullah, tiga calon berkenaan telah melepasi tapisan Jawatankuasa Bebas Pemilihan Jawatan Tertinggi PSM yang diketuai Profesor Dr Mohad Anizu Mohd Nor, dan disahkan layak untuk bertanding bagi mengisi dua kekosongan jawatan Timbalan Presiden.
Dalam perkembangan sama, tiga jawatan naib presiden pula menyaksikan saingan empat penjuru apabila tiga penyandang, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman (Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu), Wan Mohd Husni Abdullah (Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan), Datuk Abu Jimi Samat (Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Pahang) dicabar Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Ahmad Zaffry Sulaiman.
Terdahulu, jawatan Presiden PSM kekal milik penyandangnya, Mohd Sumali selepas diumumkan menang tanpa bertanding.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
