Anak sulung Peter Anthony galas tanggungjawab pimpin KDM

Priscella (empat dari kiri) dan Wetrom (tiga dari kanan) bersama pimpinan tertinggi KDM selepas bermesyuarat di Ibu Pejabat KDM, di Penampang.
Priscella (empat dari kiri) dan Wetrom (tiga dari kanan) bersama pimpinan tertinggi KDM selepas bermesyuarat di Ibu Pejabat KDM, di Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Anak sulung Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan bapanya untuk memimpin parti itu selepas dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat pimpinan tertinggi yang diadakan di ibu pejabat KDM, di sini, pada Jumaat.

Priscella yang juga Timbalan Presiden akan dibantu seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Wetrom Bahanda yang sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya KDM.

Setiausaha Agung KDM, Willie Jude berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Wetrom itu dibuat demi kebaikan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal menjelang tidak lama lagi.

"Keputusan ini dibuat sebulat suara dan dengan penuh permuafakatan kerana kami sebenarnya sudah membuat perancangan awal sekiranya apa-apa berlaku termasuk hal yang berkaitan dengan kes Datuk Presiden.

"Ia (keputusan) juga sesuai dengan peranan Priscella sebagai salah sorang pengasas parti dan Datuk Wetrom juga menyokong penuh keputusan ini, malah beliau sendiri yang mencadangkan.

"Kami masing-masing mempunyai peranan dalam parti dan saya yakin dengan hubungan kami yang sudah seperti satu keluarga, kami mampu hadapi setiap rintangan yang ada selepas ini," katanya dalam kenyataan.

Willie berkata lagi, mesyuarat itu juga turut memutuskan yang KDM kekal dengan pendirian sebelum ini untuk bertanding solo pada PRN17 nanti.

"Segala perancangan parti termasuk yang dibuat presiden akan diteruskan.

"Perjuangan diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun, ini perjuangan untuk Sabah, untuk rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Priscella, 27, merupakan graduan dari Universiti Curtain Australia dengan kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang perakaunan.

Sebelum itu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap dipenjarakan serta-merta selama tiga tahun oleh Mahkamah Rayuan menerusi keputusan rayuannya pada Selasa lalu.

Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu dipenjarakan selepas gagal dalam rayuannya berhubung kes memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!