Kisah jemaah dihalau jadikan iktibar

KEJADIAN seorang warga emas didakwa dihalau oleh seorang wanita ketika beriktikaf di sebuah surau di Bandar Rimbayu, Selangor, baru-baru ini telah mengundang keprihatinan ramai pihak.
Lebih menyentuh hati, warga emas tersebut difahamkan hanya duduk sebentar membaca al-Quran sementara menanti masuk waktu solat Dhuha.
Penjelasan itu dibuat sendiri oleh anaknya, pendakwah dan personaliti televisyen, PU Azhar Hilmi, selepas video kejadian yang menimpa bapanya tular di media sosial.
PU Azhar Hilmi memaklumkan bahawa tindakan tersebut tidak boleh diterima, memandangkan bapanya tidak mengganggu jemaah lain dan tidak tidur di surau berkenaan.
Dalam Islam, iktikaf merupakan ibadah sunat yang sangat digalakkan, dan sesiapa sahaja yang menepati syarat kebersihan serta adab boleh melaksanakannya tanpa halangan.
Surau pula berperanan penting sebagai pusat ibadah komuniti, terutamanya di kawasan perumahan dan luar bandar.
Walaupun secara hukum kedudukannya berbeza dengan masjid, namun fungsinya tetap sebagai tempat masyarakat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.
Justeru, tidak wajar menafikan hak sesiapa untuk beriktikaf, apatah lagi jika ia dilakukan dengan tertib dan penuh adab.
Lebih memilukan, tindakan menghalau warga emas tersebut jelas bertentangan dengan nilai ihsan dan rahmah yang sepatutnya dizahirkan di dalam rumah ibadah.
Tindakan sebegitu bukan sahaja menyakitkan hati, malah mencalar maruah kita sebagai masyarakat Muslim yang sepatutnya mengangkat prinsip kasih sayang dan hormat terhadap orang tua.
Perlu diingat bahawa ibadah merupakan hak setiap individu Muslim. Jangan sesekali menjadikan sikap keras hati atau prosedur yang kaku sebagai alasan untuk menafikan hak itu.
Insiden yang tular ini wajar dijadikan pengajaran kepada semua, agar mengutamakan hikmah dan timbang rasa dalam setiap tindakan.
Surau bukan medan pengusiran, sebaliknya merupakan ruang untuk menginsafkan diri, tempat menanam kasih, dan medan menyemai ihsan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

