Pelantikan yang membanggakan

Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng turut melakar sejarah apabila dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam ATM.
Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng turut melakar sejarah apabila dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam ATM.
A
A
A

DALAM sejarah ada beberapa pegawai tertinggi angkatan tentera Malaysia bukan Melayu yang amat membanggakan dan mempunyai pencapaian luar biasa.

Salah seorang daripada mereka ialah Laksamana Madya (Bersara) Tan Sri K. Thanabalasingam dengan jawatan terakhir beliau ialah sebagai Panglima Tentera Laut pada tahun 1968 hingga 1976.

Beliau adalah Panglima TLDM berpangkat tiga bintang bukan Melayu pertama dan termuda iaitu pada usia 31 tahun dan berketurunan Tamil Ceylonese.

Thanabalasingam juga antara individu paling berpengaruh dalam membangunkan TLDM selepas merdeka.

Sejarah seterusnya tercipta menerusi Leftenan Jeneral Datuk Dr. William Stevenson (juga dikenali sebagai Stephen Mundaw) dengan pangkat tiga bintang dan pernah mengetuai Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div).

1 Div kemudian diambil alih oleh Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang yang juga pegawai kanan bukan Melayu yang hebat.

Choon Siang merupakan pegawai kanan berbangsa Cina pertama paling lama berkhidmat iaitu selama 42 tahun, 8 bulan dan 9 hari dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tentera Darat (TD).

Dan baru-baru ini Komandan Maktab Ketahanan Nasional (MKN), Datuk Johnny Lim Eng Seng turut melakar sejarah apabila dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam ATM.

Johnny yang berasal dari Melaka mengikuti latihan Pegawai Kadet melalui Tauliah Jangka Tetap Ke-25 (TJT 25) di Akademi Tentera Diraja Sandhurst, United Kingdom pada 1986, seterusnya ditauliahkan ke Rejimen Renjer Diraja (RRD).

Artikel Berkaitan:

Beliau graduan Kolej Komando dan Kakitangan Tentera Australia, selain turut memiliki Ijazah Sarjana daripada Universiti Canberra, Australia serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau turut dikenali dengan kemahiran penguasaan bahasa Korea berdasarkan pengalaman mengikuti pengajian ketenteraan di Korea Selatan serta Sepanyol.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Jurulatih di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Panglima 31 Briged Infantri, Inspektor Jeneral Tentera Darat dan Ketua Staf Markas Pemerintahan Medan Barat.

Menurut ATM, kenaikan pangkat itu menunjukkan peluang yang wujud dalam ATM adalah terbuka dan berdasarkan kecemerlangan semasa dalam perkhidmatan.

Untuk rekod pada masa ini pangkat tertinggi yang pernah dicapai oleh pegawai bukan Melayu dalam ATM ialah Leftenan Jeneral (tiga bintang).

Pangkat Jeneral (empat bintang) biasanya dipegang oleh tiga jawatan tertinggi dalam ATM iaitu Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat dan Panglima Tentera Laut atau Udara.

Sehingga kini, kesemua jawatan tersebut hanya disandang oleh pegawai Melayu/bumiputera.

Berdasarkan laporan akhbar pada 2023, Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hanya lima peratus kaum bukan bumiputera yang berkhidmat di dalam ATM.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan lebih ramai kaum-kaum lain menyertai pasukan keselamatan itu kerana kira-kira 6,000 kekosongan jawatan pelbagai peringkat ditawarkan setiap tahun.

Bagaimanapun, baru-baru ini seorang pemimpin Pas telah menimbulkan kontroversi apabila mengaitkan pelantikan Johnny dengan membayangkan pada suatu hari nanti jawatan perdana menteri akan diambil oleh kaum selain orang Melayu.

Mungkin niat beliau hanyalah bermotifkan politik untuk menakut-nakutkan orang ramai ramai.

Pada masa depan kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku, namun untuk menimbulkan perkara itu pada masa ini mungkin tidak sesuai.

Kalau ikut sejarah di Amerika Syarikat, Barrack Obama menjadi Presiden kulit hitam pertama dan usaha untuk mencipta sejarah kedua dengan menampilkan Kamala Harris tidak berjaya.

Terbaharu pemimpin muda berhaluan sosialis, Zohran Mamdani, 33, mencipta kejutan besar apabila menjadi Datuk Bandar New York Muslim pertama dalam sejarah.

Lebih menarik ialah Mamdani ini dilahirkan di Uganda dalam keluarga berketurunan India.

Beliau turut dikenali kerana kelantangnya menyokong rakyat Palestin.

Jadi bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Tetapi ironinya perubahan yang berlaku di Amerika itu pun mengambil masa selama 237 tahun, berbanding Malaysia yang baru mencapai kemerdekaan 67 tahun lalu.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!