Netanyahu cuba elak ke mahkamah lagi

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sekali lagi cuba mengelakkan diri daripada perbicaraan kes rasuah selepas mendapat 'sokongan' Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Pemimpin 'ekstremis' itu dilaporkan kembali menggunakan taktik sama apabila meminta mahkamah menangguhkan proses keterangannya.
Menerusi tuntutan kepada tribunal itu, peguamnya, Amit Hadad berkata, proses itu yang dijadualkan berlangsung dua minggu akan datang wajar ditangguhkan berdasarkan perkembangan serantau dan global.
Dokumen itu juga memberi alasan Netanyahu kononnya perlu menumpukan perhatian terhadap isu keselamatan dan diplomatik setelah konflik terbuka bersama Iran dan perang yang masih berterusan di Genting Gaza.

Pada Rabu lalu, Trump menyifatkan kes rasuah yang dikenakan ke atas Netanyahu sebagai 'kempen fitnah berunsur politik'.
Menerusi catatan di platform Truth Social, Presiden ke-47 AS itu sewenang-wenangnya menggesa perbicaraan Netanyahu dibatalkan segera atau pengampunan diberikan kepada 'hero hebat' tersebut selepas peperangan bersama Teheran berakhir.
Langkah campur tangan Trump bagaimanapun mengundang kritikan beberapa ahli politik di Israel termasuk anggota kerajaan gabungan pimpinannya dan ketua pembangkang, Yair Lapid yang berpendapat beliau tidak sepatutnya mencampuri proses perbicaraan tersebut.
'Republik pisang'
Netanyahu yang sebelum ini digelar sebagai 'boneka' Trump menzahirkan rasa gembira secara angkuh dan berlebihan atas sokongan sekutunya itu.
"Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan anda untuk mengalahkan musuh kita dan meluaskan 'lingkaran keamanan' dengan segera," menurutnya di platform X.
Salah seorang sekutu kerajaan gabungan, Simcha Rothman daripada Parti Religious Zionism juga menolak campur tangan Trump.
"Ia bukan peranan Presiden AS untuk melibatkan diri dalam prosiding undang-undang Israel," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Kehakiman di Knesset (Parlimen).
Menurutnya, pengendalian kes mahkamah Netanyahu sedang mengubah imej 'negara haram Israel' daripada sebuah kuasa serantau dan global kepada 'republik pisang' (negara yang kelihatan tidak stabil, korup atau gagal menegakkan prinsip demokrasi dan undang-undang). - AFP
Info:
>Perdana Menteri Israel paling lama berkhidmat itu menafikan sebarang salah laku dalam kes perbicaraan itu yang terpaksa ditangguhkan beberapa kali sejak prosiding itu bermula pada Mei 2020.
>Di bawah kes pertama, Netanyahu dan isterinya, Sara didakwa menerima barangan mewah termasuk cerut, barang kemas, dan champagne bernilai lebih AS$260,000 (RM1.1 juta) daripada bilionair Arnon Milchan sebagai pertukaran untuk kepentingan politik.
>Dalam dua kes lain, pemimpin tersebut dituduh cuba mendapatkan liputan yang lebih memihak kepada kerajaan di dua saluran media Israel.
>Sejak Netanyahu kembali memegang jawatan pada akhir 2022, kerajaan pimpinannya mencadangkan siri pembaharuan badan kehakiman yang bertujuan untuk melemahkan mahkamah di samping 'mengelakkannya' daripada dibicarakan.
>Pemimpin 'ekstremis' itu telah meminta beberapa penangguhan prosiding kes tersebut atas alasan perang berterusan di Gaza sejak April 2023, disusuli krisis tercetus di Lubnan dan konflik terbuka bersama Iran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

