Kebodohan Israel lancar perang akibatkan kerugian RM84.6 bilion

TEL AVIV – Israel menanggung akibat buruk kerana melancarkan perang terbuka ke atas Iran selama 12 hari yang telah menyebabkan kerugian mencecah AS$20 bilion (RM84.6 bilion).
Anggaran awal itu dikeluarkan melalui laporan ekonomi dan rangkaian media di Tel Aviv yang merangkumi perbelanjaan ketenteraan, impak bedilan peluru berpandu, bayaran ganti rugi kepada individu dan perniagaan terjejas serta kos baik pulih infrastruktur.
Pakar turut memberi amaran bahawa jumlah akhir mungkin mencapai nilai anggaran tersebut sebaik sahaja impak kepada ekonomi dan tuntutan pampasan orang awam dikira secara menyeluruh.
Menurut akhbar Yedioth Ahronoth, Jabatan Perbendaharaan rejim Israel telah menanggung kerugian sebanyak AS$6.46 bilion (RM27.3 bilion).
Sementara itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) memerlukan dana tambahan berjumlah AS$11.7 bilion (RM49.5 bilion) untuk menambah semula bekalan senjata dan mengekalkan unit askar simpanan bagi meneruskan pelan ‘gila berperang’ yang menjadi matlamat utama kerajaan ‘ekstremis’ pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Defisit bajet rejim Tel Aviv dijangka meningkat sebanyak enam peratus di tengah-tengah cabaran untuk membiayai perbelanjaan perang berlandaskan defisit terkumpul ketika perang genosid ke atas Genting Gaza.
Langkah itu bertepatan dengan ramalan penyusutan ekonomi sebanyak 0.2 peratus yang dijangka mengurangkan hasil cukai.
Akhbar ekonomi Calcalist mendedahkan Kabinet Perang Israel telah membelanjakan kira-kira AS$5 bilion (RM21 bilion) atau sebanyak AS$725 juta (RM3.1 bilion) sehari untuk serangan bertubi-tubi ke atas Teheran dan langkah pertahanan bagi memintas bedilan misil dan dron di bawah tindak balas Iran.
Tambahnya, bayaran pampasan disebabkan kemusnahan harta benda sahaja dianggarkan mencecah AS$1.5 bilion (RM6.3 bilion).
Selain itu, kira-kira 15,000 penduduk Yahudi terpaksa berpindah dan ditempatkan sementara di beberapa hotel yang menelan belanja AS$29 juta (RM122.7 juta).

Tel Aviv juga perlu menanggung kos sewa ribuan keluarga untuk satu tempoh yang belum ditentukan sehingga kediaman mereka yang rosak atau musnah dibina semula yang dijangka mengambil masa bertahun-tahun.
Setakat ini, lebih 41,000 tuntutan telah dikemukakan kepada dana pampasan dan jumlah itu dijangka bertambah.
Data yang dikeluarkan akhbar sayap kanan Israel Hayom mendapati sebahagian besar aduan dikemukakan penduduk di Tel Aviv yang terjejas teruk akibat serangan balas Iran.
Penganalisis menyatakan perang yang berlarutan akan mendorong ekonomi Israel ke ambang kehancuran.
Susulan kos kerugian yang melambung tinggi, sumber Kementerian Kewangan di Tel Aviv kini mempertimbangkan langkah untuk mendapatkan sokongan kewangan tambahan daripada sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS) sama ada sebagai bantuan atau pinjaman dijamin sebagai usaha mengurangkan kos perang dan membiayai keperluan ketenteraan yang paling utama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

