Pahang kekal tenang

No Image Caption
A
A
A

KETIKA tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), negeri-negeri di bawah pakatan itu turut terheret dan tergugat menyaksikan beberapa negeri seperti Johor dan Melaka beralih tampuk pemerintahan manakala Perak hampir pasti dapat kerajaan baharu.

Berbeza di negeri Pahang diterajui UMNO/Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini menjadi negeri pembangkang di bawah kerajaan PH, situasinya terus tenang.

Pahang di bawah teraju Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail tenang sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lagi membawa hingga terbentuknya kerajaan Persekutuan baharu di bawah Perikatan Nasional hari ini.

Berikutan situasi politik di negeri ini yang tenang dan stabil, Wan Rosdy tidak perlu untuk 'pening kepala', malah dalam reaksinya pada 26 Februari lalu beliau yakin pentadbiran BN di Pahang tidak terjejas.

Bahkan tidak perlu menghadap Sultan Pahang bagi mengekalkan jawatan dan barisan pentadbirannya ekoran BN masih menguasai majoriti Dewan Undangan Negeri.

Reaksi itu disuarakan beliau ketika ditanya mengenai keadaan semasa pentadbiran kerajaan Pahang selepas Kabinet terbubar ekoran peletakan jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Ketika BN tersungkur di tangan PH pada PRU14, hanya Pahang dan Perlis bertahan di bawah BN.

Pas terus diberi mandat di Kelantan dan di Terengganu, Pas menggantikan BN manakala negeri-negeri lain termasuk Johor yang menjadi kubu UMNO terlepas ke tangan PH.

Artikel Berkaitan:

Selepas mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 15 Mei 2018, Wan Rosdy berdepan cabaran besar untuk menerajui negeri yang berstatus pembangkang selain dibebani hutang dengan pusat yang begitu tinggi.

Strategi

Ketika itu, Pahang tetap tenang. Menteri besar pun tenang merangka strategi mencorak pentadbiran demi pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya.

Memilih pendekatan pembangkang yang mesra kerajaan, Wan Rosdy tenang bekerjasama dengan pusat dalam hal-hal yang berkait kepentingan rakyat dan kerana itu, Pahang tidak tersisih.

Bahkan Pahang antara negeri yang menerima peruntukan terbesar daripada kerajaan Persekutuan apabila diluluskan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM2.41 bilion untuk pelbagai projek pembangunan di negeri ini di bawah Rolling Plan 4 2019, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) 2016-2020.

Atas kerjasama baik kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini, Wan Rosdy turut dilantik sebagai Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Negeri Pahang (MTNP) bersama-sama Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang juga Menteri Luar Negeri ketika itu.

MTNP ditubuhkan kerajaan PH bagi memastikan negeri itu terus membangun dan tidak terpinggir.

Selain itu, permasalahan di negeri itu turut mendapat perhatian melalui menteri dan timbalan menteri dari Pahang iaitu Saifuddin (PKR) Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh (PKR); Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir (Amanah) dan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP) ketika itu.

Dalam konteks politik juga, Pahang terus tenang apabila BN majoriti di Dewan Negeri diperkukuhkan dengan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pas yang dari awal memilih untuk menjadi pembangkang konstruktif sebelum menjadi sekutu melalui Muafakat Nasional antara UMNO/Pas

Untungnya juga, sembilan ADUN PH terdiri dari DAP dan PKR juga tidak terlalu agresif sebaliknya masing-masing menjalankan tugas cuma sesekali 'bersuara' membangkang terhadap beberapa dasar dan keputusan kerajaan negeri.

Juga jarang kedengaran kekecohan akibat pergolakan politik dalaman baik dari UMNO/BN dan dari PH terdiri DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) mahupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dengan beralihnya kerajaan hari ini, Pahang mungkin akan lebih tenang kerana secara automatik status negeri pembangkang sudah bertukar sebagai negeri blok kerajaan.

Sudah pasti di bawah kerajaan Perikatan Nasional dengan dua menteri dan empat timbalan menteri dari negeri ini, ia dijangka akan memberi kelebihan kepada kerajaan negeri khusus dalam kawasan parlimen diwakili.

Apatah lagi dengan kembalinya tiga Ismail dalam barisan Kabinet baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Timbalan Menteri Dalam Negeri I) dan Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan).

Ia diperkukuh dengan pelantikan Saifuddin sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia (sebelum ini Menteri Luar Negeri), Mohd Shahar Abdullah (Timbalan Menteri Kewangan II) dan Datuk Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I).

* Nik Amirul Mu'Min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian edisi Pahang