Adib hanya mampu minum susu, perlukan dana pembedahan ketiga rahang

JEMPOL - Di saat kanak-kanak seusianya sudah boleh makan nasi dan makanan pejal lain, berbeza pula dengan Adib Rasul Dzulkarnain yang kini berusia 10 tahun.
Sepanjang hidupnya, anak kepada pasangan suami isteri, Noorbaizura Mohd Farid, 42, dan Dzulkarnain A. Hawan, 40, itu hanya mampu minum susu sahaja.
Ia disebabkan penyakit sindrom Nager atau ketiadaan rahang yang dihidapinya sejak lahir, menyebabkan saluran pernafasannya sempit dan menyukarkan proses makan serta pertuturan.
Malah, pada usianya kini, berat badannya hanya sekitar 19 kilogram.
Menurut ibunya, Noorbaizura, beliau hanya mengetahui masalah anak keduanya itu selepas selamat melahirkannya secara normal.

“Masa saya mengandung, saya tidak hadapi sebarang masalah, sama seperti ketika mengandungkan anak pertama.
“Tetapi selepas bersalin, doktor beritahu anak ada masalah pernafasan dan terpaksa diletakkan dalam inkubator selama enam bulan. Lehernya juga terpaksa ditebuk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Kuala Jempol, pada Jumaat.
Jelas suri rumah itu, anaknya telah menjalani dua pembedahan rahang — yang pertama ketika berusia tiga tahun dan kedua ketika berusia empat tahun — dengan kos keseluruhan hampir RM50,000.
“Pembedahan itu penting supaya dia boleh bernafas lebih selesa dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Walaupun umur Adib sudah 10 tahun, dia tak pernah makan nasi atau makanan pejal, hanya minum susu sahaja. Pernah dia beritahu teringin sangat nak makan kek, dan kerana kasihan, saya bagi dia rasa sedikit,” katanya.
Tambahnya, Adib juga tidak boleh bercakap dan mendengar dengan baik, namun tetap seorang anak yang sangat memahami dan tidak pernah merungut.
“Kalau kami makan di kedai, dia akan duduk diam main telefon. Saya boleh kata Adib ini seorang anak yang baik dan tak banyak ragam,” katanya lagi.
Noorbaizura kini sedang berusaha mengumpul dana untuk pembedahan ketiga rahang anaknya yang dijangka menelan kos sebanyak RM37,950.

Setakat ini, mereka telah berjaya mengumpul RM13,000 hasil sumbangan orang ramai dan saudara-mara, manakala Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) turut menyumbang RM10,000.
“Saya perlukan lebih RM10,000 lagi. Jika wang mencukupi, pembedahan dijadualkan pada 25 Julai ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Doktor maklumkan kemungkinan Adib boleh bercakap, makan dan minum seperti kanak-kanak lain selepas pembedahan ini,” katanya.
Menurutnya, keadaan kewangan keluarga agak terhad memandangkan beliau tidak bekerja, manakala suaminya hanya bekerja sebagai kerani.
Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh salurkan ke akaun BSN bernombor 0500341000069297 atas nama Noorbaizura.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


