Cuti tanpa gaji elak pemberhentian kakitangan

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kebanyakan majikan meminta kakitangan mengambil cuti tanpa gaji bagi mengelak senario pemberhentian pekerja secara besar-besaran susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, rata-rata majikan yang menawarkan cuti tanpa gaji kepada kakitangannya melibatkan bidang terjejas teruk seperti sektor pelancongan termasuklah perhotelan dan penerbangan.

“Tindakan ini adalah kerana kesan daripada Covid-19 menyebabkan perniagaan syarikat terjejas teruk sehingga turun melebihi 50 peratus.

“Cuti tanpa gaji adalah langkah untuk mengelakkan pekerja diberhentikan kerana syarikat memang tidak mampu untuk bayar gaji penuh dalam masa berkenaan kerana tidak ada kerja atau perniagaan turun dengan drastik,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Shamsuddin Bardan
Shamsuddin Bardan

Dalam masa sama, beliau berpendapat Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu mengambil langkah proaktif dengan membantu pihak majikan menangani keadaan meruncing ketika ini.

“Saya merasakan KSM harus lebih proaktif untuk membantu majikan dengan menyediakan garis panduan dan tidak ada penamatan perkhidmatan pekerja.

“Bayangkan jika penamatan perkhidmatan pekerja berlaku, pastinya akan mendatangkan kesusahan kepada pekerja dan majikan. Perkara ini harus dielakkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, seramai 13,000 kakitangan Malaysia Airlines Berhad diminta mengambil cuti tanpa gaji susulan Covid-19 yang menjejaskan operasi syarikat penerbangan tersebut.

Menurut laporan theedgemarkets.com, tawaran tersebut dibuka kepada semua kakitangan syarikat penerbangan itu di mana mereka perlu mengambil tiga bulan cuti tanpa gaji atau lima hari cuti tanpa gaji setiap bulan, sekurang-kurangnya selama tiga bulan bermula April depan.

Tawaran program cuti tanpa gaji sukarela itu juga diperluaskan kepada semua kakitangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) seperti MAB Kargo, perkhidmatan penyelenggaraan MAB Engineering, Firefly dan MASwings.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail memaklumkan pihaknya akan mengurangkan 10 peratus daripada gaji pengurusan kanannya serta mengurangkan elaun mereka.