Polis KL laksana Op bersepadu besar-besaran Julai ini

Mohd Shuhaily (tengah) bergambar bersama anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur dan agensi lain.
Mohd Shuhaily (tengah) bergambar bersama anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur dan agensi lain.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur akan melaksanakan operasi bersepadu secara besar-besaran Ops Hormat Undang-Undang Jalan Raya di ibu kota pada Julai ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, objektif operasi bersepadu itu adalah pihak berkuasa mahu mendisiplinkan pengguna jalan raya dan pejalan kaki.

"Kita mahu mengurangkan risiko kemalangan dan menjamin keselamatan pengguna jalan raya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Mohd Shuhaily berkata, konsep operasi yang lebih tegas dan tersusun untuk menghalang pelbagai jenis pelanggaran trafik yang telah dilakukan oleh pengguna jalan raya.

"Antara tujuh operasi yang dilaksanakan adalah operasi parkir haram, halangan, lampu merah (berhenti melebihi garisan putih/berhenti atas lintasan pejalan kaki).

"Selain itu, kita melaksanakan operasi terhadap nombor plat pendaftaran kenderaan, cermin gelap, motosikal dan Op Didik," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya bertekad mahu memastikan pengguna jalan raya mengetahui undang-undang jalan raya.

"Kita mahu 'mengajar' individu yang alpa terhadap undang-undang jalan raya," tegasnya.

Mohd Shuhaily berkata, operasi itu melibatkan seramai 1,000 anggota dan pegawai Polis Kuala Lumpur dan dibantu oleh agensi lain sepanjang tempoh operasi bermula 1 Julai hingga 31 Julai ini.

"Antara agensi yang terlibat adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang memberi tumpuan terhadap cermin gelap dan pengubahsuaian kenderaan.

"Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula akan menjalankan operasi halangan lalu lintas dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan op motosikal yang mengeluarkan bunyi bising," katanya.

Menurutnya, selain elemen kesalahan trafik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan digunakan untuk membuat risikan dan maklumat bertujuan untuk tangkapan serta semakan rekod jenayah.

"Pihaknya JSJ akan mengambil tindakan dengan membuat pemeriksaan ke atas bengkel kenderaan yang melakukan pengubahsuaian kenderaan yang menyalahi undang-undang serta mengesan kenderaan curi," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 895 kertas siasatan trafik dibuka bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

"Jenis kesalahan tertinggi adalah halangan iaitu meletakkan kenderaan di kawasan yang dilarang atau menghalang lalu lintas dengan 311 kes; diikuti lumba haram (180 kes) dan langgar lampu merah (167 kes)," katanya.