Bawang jadi taruhan baru petani Kelantan

BACHOK – “Kami teruja hendak tanam bawang kerana ia kurang serangan penyakit dan tidak perlukan banyak air berbanding tanaman lain.”
Demikian perkongsian Mohd Fauzi Abu Bakar, 43, salah seorang daripada 51 peserta Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan.
Menurutnya yang berpengalaman dalam tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, kali pertama mencuba tanaman bawang, hasil yang diperoleh adalah sekitar 500 kilogram (kg).
Katanya, tanaman bawang tidak rumit kerana hanya memerlukan 25 peratus kelembapan sahaja.
“Untuk hasil tanaman pertama, saya berjaya menjual pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram kepada penduduk setempat dan sambutannya sangat menggalakkan.
“Permintaan sentiasa ada, disebabkan itu saya sudah tidak sabar untuk memulakan tanaman pada skala besar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa perasmian Projek Tanaman Bawang Peringkat Negeri Kelantan 2025 di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, peserta dari Pasir Puteh, Mohd Sabri Mahmod, 36, berkata keputusan mengusahakan tanaman bawang dibuat selepas melihat potensi besar bahan mentah tersebut.
Ujarnya, penjagaan yang mudah dan tidak menggunakan racun kimia serta serangga membangkitkan semangat untuk lebih serius mengusahakan tanaman bawang.
“Berpandukan kepada cuaca setempat, bawang sesuai diusahakan pada bulan Mac hingga September.
“Sebagai pengusaha tembikai, selesai sahaja menuai hasil tanaman tersebut, saya boleh terus beralih kepada tanaman bawang,” katanya.
Peserta dari Jeli, Mohamad Rashidi, 25, pula berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan menambahkan lagi keyakinannya untuk lebih serius.
“Ini merupakan salah satu usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan import bawang dari luar negara.
“Melihat kepada situasi itu, saya yakin tanaman ini mampu memberi pulangan lumayan,” katanya yang mengusahakan projek tersebut bersama pelajar di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di samping mengkaji potensi bahan mentah tersebut di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

