KDEBWM akui kelemahan subkontraktor punca notifikasi saman tidak sampai

SHAH ALAM – KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) mengakui berlaku kelemahan dalam penyampaian maklumat oleh sebilangan kecil subkontraktor, yang menyebabkan notifikasi saman tidak sampai kepada pihak syarikat dalam tempoh ditetapkan.
Menurut syarikat itu, isu berkenaan dikesan apabila notis saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak dimaklumkan segera kepada KDEBWM seperti yang sepatutnya.
“Walau bagaimanapun, majoriti kenderaan KDEBWM dikendalikan oleh syarikat-syarikat subkontraktor yang dilantik secara rasmi dan sah.
"Berdasarkan kontrak, setiap subkontraktor bertanggungjawab terhadap sebarang saman melibatkan kenderaan atau pemandu di bawah kendalian mereka,” jelas KDEBWM dalam satu kenyataan pada Rabu.
Penjelasan itu menyusul selepas Kementerian Pengangkutan pada Rabu mendedahkan bahawa KDEBWM merupakan antara 28 syarikat pengendali kenderaan barangan yang mencatatkan jumlah saman tertinggi oleh JPJ, dengan 22,017 saman aktif.
Sebagai anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor, KDEBWM memaklumkan pihaknya mengoperasikan lebih 1,500 unit kenderaan termasuk lori kompaktor dan Roll-on Roll-off (RoRo) di seluruh negeri bagi tujuan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam.
“Operasi dijalankan setiap hari tanpa henti termasuk hujung minggu dan cuti umum untuk memastikan tahap kebersihan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, syarikat menjelaskan bahawa jumlah saman perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan skala operasi yang besar dan intensif.
“Sebagai contoh, dua saman bagi satu lori sehari boleh menjana hampir 3,000 saman sebulan dan melebihi 9,000 saman dalam tempoh tiga bulan sekiranya melibatkan ratusan kenderaan aktif setiap hari,” kata KDEBWM.
Mengikut prosedur JPJ, jika saman tidak dijelaskan dalam tempoh tiga bulan, notis akan dihantar kepada pemilik berdaftar iaitu KDEBWM dengan tambahan dua bulan untuk penyelesaian.
“Sebaik menerima notifikasi rasmi, kami telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan semakan dalaman dan menyelesaikan saman secara berperingkat,” kata KDEBWM.
Jelas KDEBWM, sebanyak 13,000 saman telah berjaya diselesaikan oleh pihak syarikat.
"KDEBWM turut merakamkan penghargaan kepada JPJ atas peranan memastikan keselamatan jalan raya, dan menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh sistem pemantauan serta komunikasi dengan subkontraktor.
“Kami juga komited memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara konsisten dan berintegriti,” kata KDEBWM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

