UAE hantar bekalan perubatan kecemasan ke Gaza melalui Operasi 'Chivalrous Knight 3'

UAE salur bantuan perubatan ke Gaza melalui Operasi Chivalrous Knight 3 melibatkan ubat penting, katil perubatan dan khemah medan untuk bantu hospital lumpuh. Foto Agensi
UAE salur bantuan perubatan ke Gaza melalui Operasi Chivalrous Knight 3 melibatkan ubat penting, katil perubatan dan khemah medan untuk bantu hospital lumpuh. Foto Agensi
A
A
A

GAZA - Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui Operasi "Chivalrous Knight 3” menghantar satu lagi kumpulan bantuan perubatan kecemasan kepada kemudahan kesihatan di Semenanjung Gaza, dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Agensi Berita Emiriah (WAM), bantuan ini bertujuan untuk meringankan krisis kesihatan yang semakin meruncing di Gaza akibat kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan yang serius.

Bantuan itu disalurkan melalui hospital medan Emiriah di selatan Gaza, melibatkan sejumlah besar ubat-ubatan penting, kelengkapan perubatan kecemasan, serta bahan khusus untuk penjagaan pediatrik.

Penghantaran itu turut merangkumi 150 katil perubatan lengkap dan enam khemah medan bagi menubuhkan unit perubatan sementara, bagi mengurangkan tekanan ke atas hospital yang mengalami kerosakan teruk atau terpaksa menghentikan operasi.

Campur tangan kemanusiaan itu dilaksanakan ketika sistem kesihatan Gaza hampir lumpuh sepenuhnya, akibat kerosakan menyeluruh ke atas infrastruktur perubatan dan gangguan bekalan farmaseutikal. Keadaan ini mengancam ribuan pesakit termasuk kanak-kanak, mangsa yang cedera, serta mereka yang menghidap penyakit kronik.

Operasi "Chivalrous Knight 3" memberi keutamaan kepada sektor kesihatan Gaza sebagai antara teras utama misinya, selaras dengan arahan kepimpinan UAE yang bijaksana.

Arah tuju ini menegaskan komitmen berterusan UAE dalam menyokong rakyat Palestin dan mengurangkan penderitaan kemanusiaan mereka, khususnya dalam sektor yang paling terjejas.

Penghantaran itu juga sebahagian bantuan berterusan oleh UAE di bawah Operasi Chivalrous Knight 3, yang terus menyediakan sokongan segera dan berkesan dalam menghadapi cabaran kritikal sektor kesihatan Gaza. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!