Agong terima menghadap Peguam Negara baharu

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Idrus di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Idrus di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menerima menghadap Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun di Istana Negara.

Menurut catatan di laman Instagram rasmi Istana Negara (@istana_negara), majlis menghadap berkenaan merupakan yang pertama selepas Idrus dilantik sebagai Peguam Negara pada 6 Mac lepas.

Pelantikan itu dibuat selepas Tan Sri Tommy Thomas yang memendekkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara berkuat kuasa pada 28 Februari lepas, selaras dengan Fasal (5) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Idrus, 65, anak kelahiran Sanglang, Kedah, mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Ayer Hitam, Kedah dan Kolej Sultan Abdul Hamid sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) Universiti Malaya (UM).

Dalam karier beliau, Idrus pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Peguam Kanan Persekutuan di Suruhanjaya Pilihan Raya, Peguam Kanan Persekutuan di Badan Pencegah Rasuah, Peguam Cara Negara, Hakim Mahkamah Rayuan dan Hakim Mahkamah Persekutuan. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Idrus Harun dilantik Peguam Negara ganti Tommy Thomas

Idrus Harun pilihan terbaik Peguam Negara baharu

Artikel Berkaitan: