Idrus Harun pilihan terbaik Peguam Negara baharu

Idrus
Idrus
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara disifatkan sebagai pilihan terbaik berdasarkan pengalaman selama 40 tahun yang dimiliki beliau dalam badan kehakiman dan perundangan negara.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan mempunyai pengalaman luas kerana pernah memegang pelbagai jawatan dalam badan kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan beberapa agensi lain di sektor awam.

Menurutnya, rakyat akan memerhatikan cara beliau mengendalikan kes-kes menarik yang membayangi Pejabat Peguam Negara pada masa kini membabitkan empat kes utama.

Katanya, kes itu antaranya kendalian lanjut kesemua kes jenayah yang telah dibawa dan sedang dibicara di mahkamah terhadap para pemimpin era Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional (BN) termasuk dan tidak terhad kepada bicara jenayah SRC International Sdn Bhd (SRC) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Rakyat juga memerhati tindakan lanjut berhubung pembebasan dan pelepasan 12 tertuduh yang menghadapi pertuduhan jenayah keganasan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang telah digugurkan kesemua pertuduhan oleh Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas, tujuh hari sebelum peletakan jawatannya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Idrus Harun dilantik Peguam Negara ganti Tommy Thomas

"Seterusnya langkah lanjut berhubung peranan yang akan dimainkan dalam pelaksanaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kehakiman yang telah diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad 21 Februari lalu yang tidak pernah diambil tindakan lanjut oleh Tan Sri Tommy atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong pada ketika itu," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mohamed Haniff Khatri berkata, rakyat juga menunggu perkembangan lanjut dalam pelbagai kertas siasatan jenayah sama ada jenayah kolar putih mahupun jenayah seksual terhadap pelbagai pemimpin yang masih tertangguh sehingga kini, termasuk pemimpin-pemimpin daripada kesemua pakatan politik, sama ada Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau yakin Idrus dapat memainkan peranannya dalam semua kes berkenaan.

"Saya juga percaya Pejabat Peguam Negara akan kembali bertugas secara sihat, adil dan saksama dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka untuk menegakkan sistem keadilan dan perundangan negara demi kepentingan rakyat semua.

"Selamat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai Peguam Negara yang baharu saya ucapkan kepada Tan Sri Idrus dan saya doakan semoga Pejabat Peguam Negara akan kembali ke tahap kejayaan yang tinggi selepas ini, Insya-ALLAH," katanya.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya mengumumkan, Idrus dilantik sebagai Peguam Negara untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.