Rakyat Thailand di Kelantan disaran berdaftar dengan Konsulat Jeneral

KOTA BHARU - Rakyat Thailand yang berada di Kelantan disarankan untuk mendaftarkan diri mereka dengan pejabat Konsulat Jeneral Diraja Thailand di negeri ini.
Konsulat Jeneral Thailand di Kelantan, Phasit Chudabuddhi berkata, langkah itu bertujuan memudahkan pihaknya memberikan bantuan jika mereka berdepan masalah.
"Setakat ini pihak kami tidak mempunyai maklumat lengkap namun dianggarkan sekitar 300 rakyat Thailand mendaftarkan diri mereka dengan pihak kami," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Memasak Makanan Thai 2025 di Pejabat Konsulat Jeneral Thailand di sini pada Rabu.
Menurut beliau, perkara tersebut tidak termaktub dalam undang-undang Thailand namun langkah itu amat dialu-alukan.
Ujarnya, ia memudahkan Konsulat Jeneral mengetahui jumlah sebenar rakyat Thailand tinggal di negeri ini serta memudahkan urusan memberikan bantuan jika berlaku sesuatu.
Beliau berkata, pihak konsulat sentiasa mengingatkan rakyat Thailand di negeri ini supaya kekal patuh kepada undang-undang Malaysia.
"Perkara tersebut sentiasa dihebahkan melalui siaran radio di Thailand dan menggunakan media sosial seperti Facebook," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

