Azhar Sulaiman ‘kehelkan’ kaki demi Pak Bakar

DEMI memberi kesan maksimum kepada penonton, pelakon berpengalaman Azhar Sulaiman sanggup ‘kehelkan’ kaki sendiri bagi menjayakan watak lelaki cacat dalam siri terbaharu, Hilang Kasyorga.
Azhar membawa watak sebagai Pak Bakar, seorang lelaki yang mengalami kecacatan kaki dalam siri yang sudah ditayangkan menerusi Unifi TV Originals sejak 23 Jun lalu.
Kongsi figura berusia 53 tahun itu, pada awalnya dia hanya melakonkan aksi cacat kaki secara main-main, namun lama-kelamaan watak itu benar-benar memberi kesan fizikal terhadap dirinya.
“Masa mula lakonkan Pak Bakar, saya main-main saja (lakukan aksi warga kurang upaya). Buat-buat ‘kaki terkehel’ untuk menjayakan lagi impak sebagai lelaki cacat.
"Lepas tiga minggu, setiap kali balik rumah, kaki saya akan bengkak di sebelah tepi dan rasa kesakitan di belakang pinggang," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran siri tersebut baru-baru ini.

Jelas Azhar, bukan niatnya untuk menyeksa diri, sebaliknya dia mahu benar-benar menjiwai watak berkenaan agar tampak realistik di mata penonton.
Katanya lagi, selepas beberapa minggu menjalani penggambaran, dia mula berasa keletihan melampau hingga menyesal menerima watak itu pada awalnya.
“Bukan saya sengaja untuk mendera badan sendiri. Saya cuba juga aksi berjalan secara biasa, saya tidak dapat menjiwai kelakuan orang yang cacat.
“Apabila benar-benar beraksi sebagai seorang yang cacat, memang penat. Lepas itu rasa menyesal ambil watak ini pada hari pertama di set,” ujarnya berseloroh.
Namun sebagai seorang pelakon senior, Azhar melihat watak mencabar itu sebagai satu tanggungjawab besar yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
Dalam masa sama, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu turut menyifatkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri banyak membantunya dalam menghidupkan pelbagai karakter, termasuk yang kompleks seperti Pak Bakar.
“Pada usia sebegini, sebagai seorang pelakon senior saya tidak boleh gagal melaksanakan karakter yang diberi.
"Susah atau senang, saya perlu cabar diri untuk menjiwainya.
“Saya anggap ini adalah kelebihan pengalaman yang saya ada selama ini. Pengalamanlah yang mengajar saya untuk menghidupkan sesuatu karakter," katanya mengakhiri perbualan.

Selain Azhar, siri arahan Feroz Kader itu menampilkan Kamal Adli, Nabila Huda dan Adra Mikayla selaku teraju utama, serta turut dibintangi pelakon lain lagi.
Hilang Kasyorga mengisahkan seorang kanak-kanak jalanan bernama Kasyorga (Adra Mikayla) yang tiba-tiba hilang tanpa jejak ketika sedang bermain bersama rakan-rakannya.
Kehilangannya mencetuskan panik dalam kalangan komuniti setempat, terutamanya bapa angkatnya, Pak Bakar (Azhar Sulaiman), yang kemudian meminta bantuan jirannya, Rodi (Kamal Adli) iaitu seorang bekas pembunuh upahan untuk mencari anak tersebut.
Dalam masa yang sama, Rodi turut menerima arahan untuk membunuh seorang ahli perniagaan wanita ternama, Datuk Zaza (Nabila Huda), yang terpalit dengan skandal bersama pemandu dan pembantu peribadinya, Reza (Luqman Hafiz).
Siasatan membawa Rodi menyelami dunia gelap skandal, sindiket pemerdagangan manusia, dan penjenayah kejam yang berselindung di sebalik wajah penyayang. Dalam usahanya mencari Kasyorga, Rodi terpaksa berdepan dengan masa silamnya dan membuat pilihan sukar yang bakal menentukan hidup mati seorang kanak-kanak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

