Wanita trauma, tali kasut tersangkut eskalator

Tangkap layar video perkongsian Nur Haziqah pada Isnin di platform TikTok.
Tangkap layar video perkongsian Nur Haziqah pada Isnin di platform TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila tali kasutnya tersekat pada tangga eskalator di sebuah pusat beli-belah di Subang Jaya pada Ahad.

Terkejut dengan situasi itu, ahli keluarga yang bersamanya sempat bertindak pantas menarik wanita berkenaan dan menghentikan eskalator tersebut.

Pengalaman itu dikongsikan menerusi video TikTok milik @haziqahh_16, atau nama penuhnya Nur Haziqah Abdul Halim, 28, yang juga kakak kepada mangsa kejadian.

Nur Haziqah berkata, mereka sekeluarga pada awalnya baru selesai bermain boling di pusat beli-belah berkenaan dan bercadang untuk menonton wayang.

“Memang bercadang satu keluarga mahu pergi tengok wayang, tetapi malam itu tiada cerita menarik, jadi kami turun ke kawasan parkir.

“Masa di eskalator, tiba-tiba adik saya sedar tali kasutnya tersekat menyebabkan dia tidak boleh bergerak, lalu menjerit meminta tolong.

“Ketika kejadian itu, semua ahli keluarga panik. Nasib baik mak cik saya sempat peluk dan tarik adik ke depan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ujar Nur Haziqah yang bekerja sebagai akauntan, dalam masa sama, ayahnya turut bertindak menekan butang kecemasan bagi menghentikan eskalator berkenaan.

“Kami cuba tarik tali kasut tersebut tetapi ia masih tidak dapat dikeluarkan. Kami risau eskalator itu terus menarik kasut adik saya.

Artikel Berkaitan:

“Akhirnya, kami terpaksa meminjam pisau lipat daripada pekerja pusat beli-belah berkenaan untuk memotong tali tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, adiknya masih trauma dengan kejadian itu namun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Ibu saya turut menasihati adik supaya mengikat tali kasut dengan betul selepas ini,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!