Cubaan seludup arak gagal, penyeludup lari tinggalkan barang

PORT DICKSON – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras bernilai RM36,000 di perairan Pantai Tanjung Gemuk di sini pada malam Isnin.
Pengarahnya, Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan yang diterima dalam usaha berterusan membanteras penyeludupan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, rampasan dilakukan kira-kira jam 10 malam ketika sebuah bot ronda sedang melaksanakan operasi pemantauan rutin.

“Pemeriksaan di pesisir Pantai Tanjung Gemuk menemukan 10 kotak plastik hitam berisi minuman keras dengan kesemua kotak mengandungi 120 botol disyaki jenis liquor.
"Kotak-kotak berkenaan dipercayai ditinggalkan oleh penyeludup yang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, minuman itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.
"Semua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Maritim Melaka dan Negeri Sembilan sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 atas kesalahan memiliki atau mengangkut minuman keras tanpa kelulusan yang sah," ujar beliau.
Katanya, kejayaan tersebut menjadi bukti komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan pelanggaran undang-undang berkaitan bahan larangan.
Pada masa sama, beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang kegiatan mencurigakan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

