Terengganu ungguli STPM terbaik peringkat kebangsaan

KUALA TERENGGANU - Terengganu sekali lagi mengungguli pencapaian terbaik peringkat kebangsaan bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 dengan mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri tertinggi iaitu 3.12, mengatasi PNGK nasional sebanyak 2.85.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Wan Zuraidi Che Wan Zaid berkata, kejayaan tersebut menyaksikan jurang sebanyak 0.27 mata berbanding purata nasional, sekali gus mengekalkan kedudukan Terengganu sebagai negeri terbaik kebangsaan bagi enam tahun berturut-turut sejak 2019.
Menurutnya, daripada keseluruhan calon, seramai 110 calon memperoleh keputusan semua A penuh (PNGK 4.00), meningkat 31 calon berbanding 79 orang pada tahun 2023, manakala calon yang memperoleh semua A (gabungan A dan A-) pula berjumlah 162 orang.
"Secara keseluruhan, jumlah calon yang memperoleh sama ada semua A penuh atau gabungan semua A dan A- ialah 272 calon, menunjukkan peningkatan sebanyak 25 orang berbanding 247 calon pada tahun sebelumnya.
"Dalam aspek jurang pencapaian antara calon bandar dan luar bandar, PNGK calon bandar pada kadar 3.15, manakala calon luar bandar 3.02 dengan jurang perbezaan sebanyak 0.13.
"Ia menunjukkan peningkatan sedikit berbanding jurang 0.06 pada tahun 2023," katanya ketika pengumuman keputusan STPM di Dewan Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di sini pada Selasa.
Beliau berkata, rekod prestasi sekolah turut memberangsangkan apabila 34 daripada 46 buah sekolah mencapai PNGK minimum 3.00 pada 2024 berbanding 36 buah sekolah pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, Terengganu menunjukkan peningkatan pencapain STPM secara konsisten sejak lima tahun lalu dengan rekod PNGK pada 2019 (3.02), 2020 (3.03), 2021 (3.03), 2022 (3.04), 2023 (3.11) dan 2024 (3.12).
"Peningkatan ini memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai negeri terbaik STPM di Malaysia, mengulangi kejayaan pada tahun-tahun terdahulu iaitu 2014, 2015, 2016, 2019, 2020, 2021, 2022 dan 2023," katanya.
Berdasarkan rekod, seramai 2,226 calon mendaftar menduduki peperiksaan STPM pada 2024 di 46 buah pusat peperiksaan di Terengganu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
