Kerjasama CUCKOO, Samsung Malaysia buka akses kediaman sihat pintar

SHAH ALAM - Pencipta Kediaman Sihat, CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia), dan Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd. (Samsung Malaysia) hari ini memeterai satu kerjasama strategik.
Kerjasama ini membawa kepada pengenalan solusi Kediaman Sihat Pintar generasi baharu di Malaysia menerusi “CUCKOO Smart Healthy Home Co-Created Programme with Samsung” (atau “CUCKOO Co-Created Programme with Samsung”), di bawah segmen perniagaan “CUCKOO Co-Created” CUCKOO Malaysia.
Menerusi kerjasama ini, CUCKOO Malaysia akan memanfaatkan kepakaran Samsung dalam bidang teknologi untuk mempelbagaikan serta mengukuhkan ekosistem solusi gaya hidup sihatnya, sekali gus menawarkan solusi Kediaman Sihat Pintar yang lebih menyeluruh dan bersepadu kepada rakyat Malaysia.
Di bawah program “CUCKOO Co-Created Programme with Samsung”, CUCKOO Malaysia akan memperluaskan rangkaian mesin basuhnya dan memperkenalkan empat lagi kategori produk baharu iaitu telefon pintar, TV pintar, AirDresser dan peti sejuk.
Dengan memanfaatkan teknologi canggih Samsung, kerjasama ini menyasarkan untuk menyediakan pelbagai produk pintar bersepadu yang menggabungkan elemen gaya hidup sihat, keterhubungan dan inovasi berasaskan AI, bagi menawarkan pengalaman kediaman sihat pintar yang sesuai dengan gaya hidup moden masa kini.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon, berkata, sebagai Pencipta Kediaman Sihat, pihaknya sentiasa komited untuk memupuk gaya hidup lebih sihat dalam kalangan pelanggan melalui ekosistem solusi gaya hidup sihat pihakna yang semakin berkembang.
“Semangat membara ini telah membawa kepada jalinan kerjasama berterusan bersama pakar dan peneraju industri yang berkongsi nilai serupa menerusi segmen perniagaan CUCKOO Co-Created kami, dan kini bersama Samsung Malaysia.
“Kami percaya bahawa kerjasama strategik ini, yang memanfaatkan kekuatan unik kedua-dua syarikat, mampu membuka potensi pasaran yang lebih besar dengan solusi Kediaman Sihat Pintar, mempertingkat gaya hidup dan memberikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Presiden Samsung Malaysia, Charles Kim, berkata, kerjasama ini mencerminkan matlamat yang dikongsi bersama antara Samsung Malaysia dan CUCKOO Malaysia untuk membawa inovasi bermakna ke dalam kediaman rakyat Malaysia.
“Kepimpinan Samsung dalam segmen peralatan rumah berasaskan AI, ekosistem SmartThings yang lancar, serta kepakarannya dalam teknologi berhubung akan menjadi asas kukuh kepada pengalaman Kediaman Sihat Pintar.
“Menerusi gabungan kekuatan pengedaran dan kepakaran gaya hidup sihat CUCKOO Malaysia, kami dapat menawarkan standard baharu untuk keselesaan, penjagaan dan kehidupan saling berhubung,”katanya.
Menurutnya, CUCKOO Co-Created Programme with Samsung ini menggabungkan dua ekosistem, ekosistem solusi gaya hidup sihat CUCKOO Malaysia dan ekosistem kediaman pintar Samsung ke dalam satu penawaran bersepadu.
“Menerusi program ini, CUCKOO Malaysia akan memperkenalkan rangkaian solusi Kediaman Sihat Pintar pertama seumpamanya, yang dikuasakan oleh teknologi canggih Samsung dan direka khusus bagi memenuhi keperluan isi rumah Malaysia yang semakin berkembang, merangkumi lima kategori produk,”katanya.
Di bawah segmen perniagaan CUCKOO Co-Created, Syarikat itu telah bekerjasama dengan LSK, Fujiaire dan OGAWA Malaysia bagi memperkenalkan rangkaian tilam, penyaman udara dan kerusi urutnya sendiri. Segmen ini telah menjadi pemacu pertumbuhan yang kukuh, dengan peningkatan sumbangan hasil daripada 2.9 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK2021) kepada 20.2 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK2024).
Bagi TK2024, produk CUCKOO Co-Created mencatat pertumbuhan hasil tahun ke tahun yang mengagumkan sebanyak 62.6 peratus, mencecah RM250.3 juta. Ia menyumbang kepada peningkatan ketara hasil keseluruhan sebanyak 11.0 peratus, yang seterusnya membawa kepada rekod hasil tertinggi CUCKOO Malaysia sebanyak RM1.24 bilion untuk TK2024. Segmen CUCKOO Co-Created terus mempamerkan prestasi cemerlang dengan menyumbang 19.7 peratus (RM58.3 juta) kepada jumlah hasil pada suku pertama tahun kewangan 2025 (S1TK2025).
Hoe berkata, segmen perniagaan CUCKOO Co-Created mengutamakan kerjasama dengan rakan perniagaan yang mempunyai matlamat serupa dengan pihaknya bagi membuka nilai yang lebih besar untuk pelanggan dan Syarikat.
“Kerjasama kami selama ini terbukti berjaya seperti yang dapat dilihat pada pertumbuhan segmen ini. Selain itu, ia juga merupakan salah satu bahagian penting dalam perjalanan kami untuk terus memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menjadi #SAMASAMAHealthier,”katanya.
Produk di bawah program ini dijangka akan dilancar secara rasmi dan boleh didapati bermula pada 1 Julai 2025.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
