CUCKOO Malaysia tersenarai di pasaran utama Bursa Malaysia

CUCKOO Malaysia melakar sejarah apabila memulakan dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia)
CUCKOO Malaysia melakar sejarah apabila memulakan dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia)
A
A
A

SHAH ALAM - Pencipta kediaman sihat, CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia), melakar sejarah apabila memulakan dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia), semalam.

Sebaik loceng pembukaan dibunyikan, sejumlah 6,822,100 saham telah didagangkan pada harga RM1.09 sesaham, di bawah nama saham ‘CKI’ dan kod saham ‘5336’.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International (MAL) Berhad, Hoe Kian Choon, menzahirkan rasa bangganya terhadap pencapaian syarikat itu.

“Hari ini menandakan satu pencapaian bersejarah bagi CUCKOO Malaysia apabila kami disenaraikan secara rasmi di Pasaran Utama Bursa Malaysia, menjadi pencipta kediaman sihat yang diinspirasikan oleh rakyat, untuk rakyat.

“Dari permulaan kami pada tahun 2014, sehingga menjadi nama isi rumah yang dipercayai dengan ekosistem penyelesaian kesihatan menyeluruh yang semakin berkembang. Segala usaha kami dipandu oleh satu matlamat utama, iaitu menginspirasikan semua orang untuk menjadi #SAMASAMAHealthier,”katanya.

Menurutnya, penyenaraian ini bukan sahaja satu pencapaian penting, ia juga merupakan permulaan strategik baharu bagi CUCKOO Malaysia.

“Kami kini berada dalam kedudukan yang kukuh untuk memacu inovasi dan memperluaskan pasaran apabila kami memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, serta memperkasa lebih ramai pengguna di Malaysia, Singapura dan Brunei ke arah kehidupan yang lebih sihat.

“Kerjasama kami dengan Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd. baru-baru ini mencerminkan komitmen kami untuk membina kerjasama berimpak tinggi yang berupaya meningkatkan ekosistem produk kami dan memberikan nilai tambah kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Berbekalkan asas yang kukuh dan hala tuju strategik yang jelas, kami yakin dengan kemampuan kami untuk memacu prestasi mampan dan membuka peluang pertumbuhan baharu, terutamanya dengan sokongan pelanggan, rakan kongsi, ahli pasukan dan semua pemegang taruh,”katanya.

Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Syarikat, Koo Bon Hak berkata, penyenaraian CUCKOO Malaysia di Pasaran Utama Bursa Malaysia merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan bermakna, bukan sahaja untuk pasukan Malaysia, tetapi juga untuk CUCKOO di seluruh dunia.

“Sejak ia ditubuhkan pada tahun 2014 hingga ke hari ini, CUCKOO Malaysia telah berkembang dengan mantap, menjadi rakan kongsi yang penting dan signifikan kerana ia menyumbang 35.5 peratus kepada jumlah pendapatan CUCKOO Homesys Co., Ltd. (“CKH”) pada suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 (“S1TK2025”).

“Ia mencerminkan kekuatan kerjasama kami di mana CKH membekalkan produk berjenama CUCKOO, manakala CUCKOO Malaysia memasarkan dan menyewakan produk berinovasi ini kepada pelanggan melalui model perniagaan berasaskan sewaan yang mantap. Ia jelas menunjukkan peranan penting CUCKOO Malaysia dalam strategi pertumbuhan antarabangsa kami,”katanya.

Menurutnya, kejayaan CUCKOO Malaysia menjadi bukti kepada kekuatan kepimpinannya, komitmen pasukannya, dan semangat yang tidak berbelah bahagi dalam memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan pelanggan.

“Kini, kami meraikan pencapaian ini dan kami tetap yakin terhadap pertumbuhan dan impak berterusan CUCKOO Malaysia dalam menyampaikan ekosistem penyelesaian kesihatan yang menyeluruh.

“Kami akan terus menyokong pasukan ini dalam usaha mereka mengukuhkan lagi kedudukan pasaran dan mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang taruh,”katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!