Malaysia naik 11 anak tangga dalam WCR 2025, bukti pemulihan ekonomi kukuh

SHAH ALAM – Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025, menjadikan negara kini berada di kedudukan ke-23 berbanding tangga ke-34 pada tahun sebelumnya.
Kenaikan drastik ini dianggap luar biasa dan jarang berlaku, lebih-lebih lagi selepas kejatuhan tujuh tangga yang dialami Malaysia dalam laporan WCR tahun lalu.
Peningkatan ketara ini disifatkan sebagai isyarat kukuh terhadap pemulihan ekonomi negara yang semakin mengukuh hasil pelbagai pendekatan dan dasar yang diperkenalkan kerajaan dalam tempoh setahun kebelakangan ini.
Ia bukan sahaja menandakan kejayaan mengatasi kemerosotan prestasi tahun lalu, malah membuktikan kemampuan Malaysia untuk bangkit lebih kuat daripada sebelumnya.
Kejayaan ini dikaitkan secara langsung dengan kombinasi dasar fiskal yang berhati-hati, pelaksanaan penyelarasan subsidi secara tersasar serta tahap keyakinan pelabur asing yang semakin meningkat terhadap usaha kerajaan dalam memperkukuh tatakelola fiskal negara.
Langkah-langkah ini bukan sahaja menstabilkan kedudukan fiskal, malah memberi kesan positif kepada struktur asas ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
Kedudukan baharu Malaysia dalam WCR 2025 dijangka memberi impak positif kepada ekonomi domestik.
Peningkatan keyakinan pelabur dan pasaran akan menyokong pertumbuhan peluang pekerjaan, yang seterusnya dijangka mendorong peningkatan gaji dalam sektor swasta serta memacu aktiviti ekonomi negara secara menyeluruh.
Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Dr Shamshul Anaz Kassim, kejayaan ini memperlihatkan keberkesanan dasar kerajaan dalam mengurus ekonomi secara strategik dan inklusif.

Katanya, pemulihan prestasi ini adalah bukti jelas bahawa penyelarasan subsidi yang dilaksanakan mula memberikan kesan yang memberangsangkan terhadap kedudukan struktur ekonomi negara.
Beliau turut menjelaskan bahawa pencapaian ini akan terus diperkukuhkan melalui pelaburan asing langsung (FDI) seperti yang diumumkan oleh syarikat tenaga global, Shell, yang bakal melabur lebih RM9 bilion di Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Pelaburan ini dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi melalui pembinaan fasiliti, penyediaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan tempatan.
“Usaha berterusan untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuh hubungan antara kerajaan, industri dan institusi pengajian tinggi juga memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas beliau lagi, secara keseluruhannya, lonjakan kedudukan dalam WCR 2025 merupakan bukti nyata bahawa usaha kerajaan dalam memulihkan dan memantapkan ekonomi negara sedang membuahkan hasil.
“Pencapaian ini tidak hanya mencerminkan kestabilan makroekonomi, malah memperkukuh imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau Asia Tenggara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pengurusan dan Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Selangor, Profesor Madya Dr Idaya Husna Mohd berkata, pelaburan jangka panjang oleh syarikat multinasional seperti Shell memberi signal kestabilan kepada pasaran dan pelabur lain.
“Pelaburan berprofil tinggi memberi gambaran positif terhadap ketelusan, kestabilan perundangan, hubungan industri serta keberkesanan dasar ekonomi kepada Malaysia.
“Keterlibatan Shell boleh meningkatkan kredibiliti pasaran Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang mampan dan strategik di rantau Asia Tenggara,” jelasnya.

Beliau berpendapat, komitmen pelaburan dalam bentuk infrastruktur dan pembangunan modal insan mencerminkan bahawa Shell melihat potensi pulangan yang stabil dalam ekonomi tempatan.
“Pelaburan berprofil tinggi begini dapat membuka peluang dan menarik minat pelabur lain untuk turut serta dalam ekosistem ekonomi malaysia yang kembali berkembang.
“Sekiranya pelaburan tersebut merangkumi komponen tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian karbon rendah, ia akan menyumbang kepada usaha mencapai sasaran pembangunan mampan (SDG) dan aspirasi negara ke arah ekonomi hijau,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
